Ijtimak Tarbawi 2023: Acara tahunan persiapan fikrah

- Advertisement -

MINGGU lepas Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat bulanan di Port Dickson dan meluluskan 3,053 keahlian ahli baru PAS dengan Terengganu di tempat teratas. Gelombang hijau makin membadai dan tak tertahan asakannya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, memberi genta akan perubahan landskap politik yang akan berlaku dalam PRN yang semain hampir ini.

- Advertisement -

Gerakan Islam ini semakin membesar keahliannya, meranum dengan bakat-bakat baru, anak-anak muda berpendidikan dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latar belakang. konsistensinya di medan dakwah, tarbiah dan dakwah telah teruji dalam tempoh yang panjang, tak hina kerana fitnah dan kecaman, tak luntur dek tribulasi dan intimidasi kepada pendukungnya dalam tempoh 72 tahun berpencak di negara ini.

Insya-Allah, harakatul ummah ini terus menerjang badai, 16 dan 17 Jun 2023 ini berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak Tarbawi 2023 di ICCC Shah Alam, Selangor. Negeri yang pernah merakamkan banyak pahit manis perjuangan PAS sejak ditubuhkan oleh para alim ulama, juga PAS pernah menjadi rakan kongsi kerajaan pasca PRU 2008. Sedekad PAS berada dalam kerajaan negeri dan membantu mencorakkan kegiatan jihad ta’lim di negeri maju ini dengan sejarah awal PAS Selangor dikuatkan denga etnik Jawa dan Banjar.

Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu ijtimak tarbawi di Masjid Rusila Terengganu, KUIZM Taman Melewar, seterusnya Maahad Muhamadiah Pagoh, Johor, di Yayasan an-Nahdhah Pulau Pinang, Melaka, Kompleks Tahfiz an-Nur Besut. Program tahunan ini direhatkan dalam musim pandemik yang telah meragut ramai korban termasuk aktivis-aktivis PAS di seluruh negara seperti almarhum Ustaz Rizuan Rahmat, almarhum Cikgu Raja Ismail, mendiang Cik Kumutha dan lain-lain tokoh PAS.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60-an telah ratusan kali mengadakan pelbagai ijtimak dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah dan anggota pemuda yang kompeten. Semasa DPPP dipimpin oleh Ustaz Hasan Shukri, seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin Iraq, program ini dinamakan SPEM.

DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu. Menurut almarhum Ustaz Hassan Shukri, pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah berjaya menghadapi serangan agresif, tak beradab pemuda tahan lasak Umno yang dikenali sebagai pemuda tahan lasak.

Dalam dekad kebangkitan Islam pula, selepas peralihan kepimpinan ulama, pelbagai ijtimak telah diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya. Dekad 1980-an menyaksikan ramai aktivis pemuda PAS mendekam dalam tahanan ISA dan ini makin mengikat ukhuwah pemuda-pemuda untuk menjadi benteng kepada perjuangan Islam. Program yang paling berskala besar ialah Ijtimak Alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami, Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya. Ijtimak Alami yang diadakan di perkampungan Rusila telah menghimpunkan lebih seratus ribu orang amilin PAS dari seluruh negara.

Ijtimak Tarbawi 2023 Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berlangsung dengan euphoria santai di tengah bandaraya Shah Alam, namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan mantan ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Dengan jangkaan ribu peserta yang hadir memenuhi ruang konvensyen ICCC Shah Alam.

Program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid, mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini. Terasa masih segar dalam ingatan Ijtimak Tarbawi di Kompleks Pendidikan Tahfiz an-Nur Besut tahun lepas, dengan kehadiran lebih sepuluh ribu tetamu, pidato pimpinan yang mencerahkan akal serta pengisian daripada murabbi, Tuan Guru Presiden yang mendamaikan sukma. Ukhuwah dipintal erat untuk merimbun rasa kasih sayang sesama amilin dan pimpinan.

PAS walaupun disibukkan dengan PRN yang bakal menjelang, mengaduk  medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau lebih sejuta orang dan dua juta penyokong. Wadah ini bak sebuah kampus yang tak lelah mencerahkan akal ahli, juga bak hospital yang merawat penyakit.

Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh tujuh dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah. Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada di rakaman sejarah.

Dasawarsa 70-an dan 80-an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah, jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan kebangkitan generasi muda peserta kebangkiran semula Islam. Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan ulama) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan kader di mana Dewan Pemuda PAS adalah kilang pencetak kader gerakan Islam.

Kepimpinan ulama haraki yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak di atas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong.

 Pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan PAS di masa hadapan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang di tangan sang pengecut dan pemuda yang manja, dua hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara. Jom anak muda, kita serbu Ijtimak Tarbawi 2023 di bumi Selangor dalam getar kerajaan PH yang semakin ditolak oleh majoriti Muslim negara ini, bersiaga untuk tersenyum di Shah Alam pada Jumaat dan Sabtu ini, berinti ukhuwwah semahal tempayan emas! – HARAKAHDAILY 16/6/2023

Penulis ialah Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat, mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -