
LOS ANGELES: Penceroboh telah mengambil alih bahagian negeri Nevada di Amerika Syarikat, tetapi mereka bukan makhluk asing tetapi cengkerik.
Berjuta-juta cengkerik spesies Mormon telah mengerumuni bandar Elko, meliputi jalan-jalan raya dan rumah, malah sehingga menghalang akses hospital.
Penduduk tempatan berkata mereka sudah bosan dan muak dengan serangga merangkak yang tinggal di tanah itu.
“Anda berasa sangat terganggu,” kata Colette Reynolds kepada CBS.

“Apabila anda berada di dalam rumah ia kedengaran seperti hujan di luar kerana mereka (cengkerik) jatuh secara berterusan dari merata tempat di mana mereka tidak dapat berpaut,” tambahnya yang menambah bahawa makhluk itu malah menimbulkan masalah untuk kepada perkhidmatan kecemasan.
Steve Burrows dari Hospital Serantau Northeastern Nevada memberitahu TV KSL tempatan, pihaknya menghadapi masalah untuk membawa pesakit ke hospital dan terpaksa menugaskan individu bagi menyapu terlebih dahulu kumpulan cengkerik untuk membuka laluan buat ambulan yang membawa pesakit masuk ke hospital.
“Pernah, pada satu ketika kami juga mempunyai traktor dengan pembajak salji di atasnya hanya untuk menolak timbunan cengkerik daripada menghalang perjalanan kami,” katanya.

Pakar entomologi negeri Nevada Jeff Knight dalam pada itu berkata kawanan cengkerik bukanlah sesuatu yang luar biasa di rantau tersebut, tetapi ia lebih ketara apabila populasi manusia merebak ke kawasan yang sebelum ini menjadi habitat serangga berkenaan.
Berita buruk bagi penduduk Elko ialah tidak banyak yang boleh mereka lakukan, tetapi hanya menunggu sehingga semua cengkerik itu berlalu pergi.
“Selagi boleh bertolak ansur, penduduk di sini akan meneruskan hidup bersama-sama dengan cengkerik,” kata Knight. – HARAKAHDAILY 16/6/2023




















