Pekerja asing dibenar bekerja dalam lima sektor

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggajian pekerja asing di negara ini adalah melalui Pas Lawatan Kerja Sementara bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam pekerjaan asas berkemahiran rendah dan industri berintensiti buruh yang tinggi.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada masa ini, pekerja asing dibenarkan bekerja dalam lima sektor iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian, perladangan dan perkhidmatan.

Katanya, mereka diambil dari 15 negara yang dibenarkan iaitu Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Pakistan, Filipina, Thailand, Vietnam, Cambodia, China, Sri Lanka, Lao PDR, Uzbekistan dan Kazakhstan.

Tambahnya, antara syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan adalah tempoh penggajian iaitu selama 10 tahun dengan tambahan tiga tahun.

Sepanjang tempoh penggajian tersebut, ujarnya mereka hendaklah bekerja dalam sektor yang ditetapkan sepertimana diluluskan semasa pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara dan tidak dibenarkan untuk bekerja secara sambilan dalam mana-mana sektor lain selain yang ditetapkan.

KSM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh [PN-Pasir Puteh] di Dewan Rakyat, semalam.

Nik Muhammad Zawawi meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah pihak kerajaan ada atau akan membuat pertimbangan terhadap cadangan memberikan kebenaran kepada pekerja asing di Malaysia untuk terlibat sebagai pekerja sambilan sektor perkhidmatan.

“Pada masa ini pihak kerajaan tidak bercadang untuk memberi kebenaran kepada pekerja asing di Malaysia untuk terlibat sebagai pekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan mahupun lain-lain sektor yang dibenarkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

- Advertisement -