Perencatan pendemokrasian pendidikan di Selangor

Nushi Mahfodz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Shah Alam dan Subang Jaya mengeluarkan syarat-syarat permohonan kelulusan perancangan telah menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan Sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor.

- Advertisement -

Begitu kenyataan maklum balas Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz melalui Facebook PAS Selangor mengenai isu lebih 80 buah SIP yang dikatakan terancam akan ditamatkan operasi dan boleh menyebabkan lebih 20,000 pelajar Islam bakal kehilangan tempat belajar di negeri Selangor.

Terdahulu, pada hari ini, HarakahDaily melaporkan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa tentang polemik tersebut menerusi berita berjudul, 20,000 pelajar Islam terancam hilang tempat belajar di Selangor.

“Berdasarkan syarat- syarat permohonan kelulusan perancangan yang telah dikeluarkan garis panduan oleh bahagian perancang bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit, telah menyukarkan kelulusan penggunaan rumah kedai sebagai tempat pembelajaran SIP dan pelajar-pelajar Islam  di Selangor.

“Perkara berkenaan diumumkan melalui satu surat pekeliling yang dikeluarkan kepada pihak sekolah serta menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan, sehingga ada sekolah yang diarahkan supaya ditutup oleh pihak PBT,” ujar Mohd Zai.

Sehubungan itu, tambah Nushi, tindakan PBT terbabit menyebabkan ada sekolah yang diarahkan ditutup.

“Lebih menyedihkan, sebanyak 80 buah sekolah terlibat dan melibatkan puluhan ribu orang pelajar. Tindakan tersebut telah merencatkan proses pendemokrasian pendidikan di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -