
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) menyifatkan kadar caj perkhidmatan sebanyak RM1 ketika ini sebagai antara punca utama perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) ketinggalan.
Sehubungan itu, katanya kadar itu perlu disemak semula dengan segera kerana tidak lagi relevan.
Katanya, gesaan Kertas Putih Kesihatan untuk meningkatkan pembiayaan kesihatan sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan satu penyelesaian jangka panjang yang mampan.
“Kadar caj semasa KKM (di klinik dan hospital) perlu disemak semula dengan segera. Pembayaran RM1 adalah bersesuaian pada zaman nasi lemak dijual pada kadar 10 sen ke 20 sen sebungkus, sedangkan sekarang nasi lemak dah berharga RM2.50 hingga RM5 sebungkus.
“Caj atau kos yang statik pada RM1 ini adalah antara penyumbang utama kepada perkhidmatan kesihatan KKM yang statik dan keterbelakang,” katanya membahaskan Usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkafperi berkata, pesakit-pesakit dibiarkan menunggu selama berjam-jam di perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Katanya, perlu ada kemahuan politik untuk meningkatkan caj tersebut kepada kadar yang lebih munasabah, berbanding kos perkhidmatan swasta yang telah meningkat antara RM80 dan RM100.
“Untuk memastikan perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti moden dan maju, polisi pembiayaan kesihatan perlu dibangunkan dengan mengambil kira pembiayaan cukai daripada KDNK itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















