
JAKARTA: Indonesia mengesahkan ia telah membeli 12 jet pejuang Mirage 2000-5 yang sebelum ini digunakan oleh Qatar, perjanjian urusniaga melibatkan kos hampir AS$800 juta (RM3.7 bilion).
Pengesahan itu mempertahankan keputusan kerajaan Indonesia bahawa itu sebagai cara pantas untuk menaik taraf angkatan tentera udaranya walaupun ia dikritik oleh penggubal undang-undang negara itu yang berkata jet pejuang terpakai itu sebagai sudah ‘terlalu tua’.
Kementerian pertahanan berkata dalam satu kenyataan bahawa Indonesia telah menandatangani perjanjian itu pada harga AS$792 juta dengan Excalibur International, sebuah unit syarikat pertahanan Czech Czechoslovak Group (CSG) pada Januari tahun ini, yang bakal menyaksikan kesemua pesawat itu akan dihantar ke negara itu dalam tempoh 24 bulan dari tarikh tersebut, lapor Reuters.
Perjanjian pembelian jet pejuang itu, untuk sembilan unit dengan tempat duduk tunggal dan tiga lagu unit dengan dua tempat duduk, pertama kali dilaporkan pada awal Rabu (14 Jun) oleh media Indonesia, yang memetik penggubal undang-undang menimbulkan keraguan mengenainya.
“Apa yang mendesak sehingga kami terpaksa membeli jet terpakai dan lama?” lapor akhbar Kompas memetik kenyataan Ahli Parlimen Tubagus Hasanuddin.
Kementerian pertahanan tidak menyebut umur jet tersebut, tetapi menurut laman web pengeluar Dassault Aviation, model itu pertama kali dilancarkan pada tahun 1967.
Jurucakap kementerian pertahanan, Edwin Adrian Sumantha, dalam satu kenyataan berkata bahawa indonesia memerlukan jet pejuang yang boleh dihantar dengan cepat untuk menampung kemerosotan kesediaan tempur dalam armada Tentera Udara Indonesia.
Negara itu telah lama berusaha untuk membaik pulih armada udaranya yang sudah tua termasuk F-16 buatan AS dan jet Sukhoi Su-27 dan Su-30 Rusia.
Kementerian itu juga berkata, rancangan untuk menggantikan jet F-5 Tigernya dengan Su-35 telah dihalang oleh sekatan Amerika Syarikat ke atas Rusia, sambil menambah bahawa Jakarta mempunyai perancangan lain untuk menaik taraf armadanya tetapi ia akan mengambil sedikit masa.
Terdahulu, Indonesia mengumumkan rancangan untuk membeli 11 jet Su-35 dari Rusia pada 2017, yang bermatlamat dibayar dengan wang tunai dan komoditi Indonesia.
Negara itu memperoleh perjanjian untuk memesan 42 jet pejuang Rafale dengan harga AS$8.1 bilion pada Februari 2023.
“Pembelian jet pejuang F-15 yang dirancang juga sedang dalam peringkat lanjut dan menunggu perjanjian akhir daripada kerajaan,” kata menteri pertahanan Prabowo Subianto pada tahun lepas. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















