
BEIJING: China mencadangkan agar timur Baitulmaqdis dijadikan ibu kota Palestin sebagai salah satu daripada tiga perkara ke arah penyelesaian konflik yang dihadapi Palestin angkara kezaliman zionis Israel.
Cadangan itu muncul hasil pertemuan China dan Palestin pada Rabu dalam meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada perkongsian strategik dengan kehadiran Presiden China, Xi Jinping menemui Presiden Palestine, Mahmoud Abbas yang ketika ini dalam rangka lawatan ke China.
Dua cadangan lain menurut Xi ialah penyelesaian asas terletak pada penubuhan negara Palestin merdeka yang menikmati kedaulatan penuh berdasarkan sempadan 1967; dan kepentingan untuk mengekalkan arah yang betul dalam rundingan damai Palestin-Israel, lapor Global Times.
“Persidangan keamanan antarabangsa berskala besar, lebih berwibawa dan lebih berpengaruh harus diadakan untuk mewujudkan keadaan bagi menyambung semula rundingan damai dan menyumbang usaha nyata untuk membantu Palestin dan Israel hidup dalam aman,” kata Xi.
Sehubungan itu, Xi menegaskan bahawa China dan Palestin adalah kawan baik dan rakan kongsi yang mempercayai dan menyokong antara satu sama lain.
“China adalah salah satu negara pertama yang mengiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan negara Palestin, serta selama ini teguh menyokong usaha rakyat Palestin yang adil untuk memulihkan hak kebangsaan mereka yang sah,” kata Xi.
Menghadapi perubahan yang belum pernah berlaku di dunia dan perkembangan baharu di Timur Tengah, ujar Xi lagi, China kini bersedia untuk mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dengan Palestin, dan berusaha untuk penyelesaian yang komprehensif, adil dan bertahan lama kepada konflik Palestin dalam tempoh terdekat.
Ketua negara rantau Arab pertama ke China
Menegaskan bahawa Abbas adalah ketua negara rantau Arab pertama yang berkunjung ke China pada tahun ini, Xi berkata bahawa peningkatan jalinan hubungan China-Palestine akan berfungsi sebagai satu peristiwa penting dalam hubungan kedua-dua negara yang membina pencapaian masa lalu dan menandakan masa depan yang lebih cerah.
“China akan merebut peluang ini untuk bekerjasama dengan Palestin untuk memajukan persahabatan dan kerjasama dua hala dalam semua bidang.
“Sejak penubuhan hubungan diplomatik dua hala pada tahun 1988, China sentiasa membantu dalam kapasitinya dengan pembangunan ekonomi Palestin dan meningkatkan kehidupan rakyatnya,” tegas Xi.
Terdahulu, China membantu Palestin dalam pembinaan lebih daripada 40 projek termasuk sekolah dan jalan raya, menghantar pasukan pakar, bekalan perubatan dan vaksin semasa wabak covid-19, dan pada Jun 2023, China menjanjikan derma AS$1 juta lagi kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat.
Dalam satu kenyataan bersama mengenai peningkatan hubungan dua hala yang dikeluarkan pada Rabu, kedua-dua negara mengulangi sokongan bersama dalam isu kepentingan teras dan kebimbangan utama.
Palestin menjunjung prinsip satu China dan menyokong semua usaha yang dilakukan oleh kerajaan China untuk mencapai penyatuan semula negara; dan mengutuk campur tangan luar dalam hal ehwal dalaman China termasuk hal ehwal berkaitan Hong Kong dan Xinjiang.
China pula menyokong Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dan menyambung semula rundingan damai dengan Israel berdasarkan prinsip ‘tanah untuk keamanan’, resolusi PBB yang relevan, dan ‘penyelesaian dua negara’ untuk mencapai kewujudan bersama secara aman antara Palestin dan Israel.
“Kedua-dua pihak berikrar untuk menggalakkan secara aktif rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas dan meningkatkan pertukaran mengenai budaya, pendidikan dan media.
“China akan terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin dan menyokong projek kehidupan dan pembangunannya dan ia akan terus menyediakan latihan kakitangan dan membantu pembinaan kapasiti Palestin,” ujar kenyataan bersama itu. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















