Laporan ‘land swap’ perlu dinyahklasifikasikan – PAC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyahklasifikasi laporan projek kontroversi ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan bagi membolehkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneliti semula isu itu.

- Advertisement -

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya telah memohon supaya laporan itu dinyahklasifikasi dengan menghantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.

Katanya, laporan ‘land swap’ adalah satu-satunya dokumen yang belum dinyahklasifikasi, daripada tiga laporan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang telah dibubarkan.

“Untuk makluman JKSTUPKK pernah membentangkan tiga laporan kepada PAC pada Parlimen ke-14. Pertama laporan JKSTUPKK berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 16 November 2020.

“Keduanya berhubung perolehan enam Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Kementerian Pertahanan pada 1 Disember 2020 dan laporan ketiga berhubung projek ‘land swap; di bawah Kementerian Pertahanan pada 2 April 2019 dan 16 November 2020,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, dua daripada tiga laporan JKSTUPKK telah dinyahklasifikasi oleh Jabatan Perdana Menteri, iaitu Laporan AES pada 8 Julai 2022 dan Laporan Perolehan Enam SGPV berkeupayaan LCS Tentera Laut Diraja (TLDM) Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos lalu.

Namun, katanya laporan projek ‘land swap’ di bawah Kementerian Pertahanan masih belum dinyahklasifikasi dan memandangkan JKSTUPKK telah dibubarkan, sepucuk surat dihantar kepada Azalina untuk menyahklasifikasi laporan itu supaya PAC Parlimen ke-5 dapat melihat semula perkara ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -