
KUALA LUMPUR: Pendedahan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa mengenai jajaran baharu yang dikatakan cuba dicetus Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah lama berlaku dianggap membuka mata ramai ahli dan pendukung parti itu.
Penganalisis Psikososial dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pendedahan plot itu mengundang kemarahan ramai ahli parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurutnya, agenda itu dicetus kerana sikap tamak kuasa dan mengelak dikaitkan dengan kluster mahkamah.
“Namun malangnya, plot tersebut dilihat sebagai punca Umno ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan menunggu masa tenggelam daripada arus perdana politik negara,” katanya di sini.
Ketika penampilan sulung pada ceramah Pertahan Kelantan di sini Ahad lepas. Annuar mendakwa Zahid Hamidi sudah lama berusaha membentuk jajaran baharu dengan PKR dan DAP.
Dr Zulkeflee berkata, berdasar kepada perkembangan terbabit Umno tidak mampu menafikan parti terbabit kehilangan ramai ahli dan penyokong.
“Berdasarkan kajian pada PRU15 Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya meraih 3 juta undi daripada 21 juta pengundi di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023
# Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah cetak edisi Isnin ini




















