
KUALA LUMPUR: Isu perubahan iklim yang melanda global, termasuk negara ini menyebabkan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, beliau meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan komitmen kerajaan dalam memastikan negara tidak mengalami impak buruk rentetan fenomena iklim global yang tidak menentu.
Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab memberitahu bahawa kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dalam mengintegrasikan aspek adaptasi bagi menangani kesan perubahan iklim.
“Kita selalu bercakap mengenai mitigasi untuk mengurangkan perubahan iklim, tetapi dalam keadaan negara pada hari ini, pendekatan mitigasi sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu mengambil pendekatan adaptasi di mana kita perlu terima bahawa perubahan iklim sudah berlaku kepada suatu tahap.,” katanya.
Beliau berkata, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menerbitkan Perubahan Iklim Rangka Kerja Sektor Air sebagai dokumen rujukan dalam menangani impak bencana banjir.
Katanya, dokumen rangka kerja ini mengetengahkan strategi dan langkah adaptasi untuk tiga perkara utama iaitu, sub sektor sumber air, penggunaan atau perkhidmatan air dan bencana berkaitan air.
“Dokumen ini bakal menjadi input utama untuk Pelan Adaptasi Nasional Malaysia (MyNAP) khususnya dalam konteks langkah adaptasi dan tindakan untuk sektor air.
“Kerajaan juga sedang melaksanakan langkah-langkah adaptasi untuk bersedia menghadapi kesan iklim seperti kenaikan paras laut dan perubahan iklim. Ini termasuk membina tembok laut, menambah baik pengurusan air dan membangunkan sistem amaran awal untuk kejadian cuaca ekstrem,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















