Struktur agroekologi Perlis sesuai bagi penanaman kenaf

- Advertisement -

PADANG BESAR: Struktur agroekologi negeri Perlis sesuai untuk penanaman kenaf bagi menghasilkan biji benih.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, berdasarkan fakta tersebut pihaknya telah mencapai satu persefahaman bagi membangunkan industri berkenaan.

“Alhamdulillah, saya menghadiri Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf, Beseri, Perlis hari ini.

“Terima kasih kepada Dato’ Siti Aminah Aching yang telah hadir mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof,” katanya, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Razali Saad; dan sebelum itu, rombongan yang diketuai Mohd Shukri telah  melawat Pusat Industri Kenaf di Batu Bertangkup, Chuping. 

Pusat tersebut dibangunkan pada tahun 2016, bertujuan meningkatkan nilai tambah dalam rantaian pengeluaran kenaf seterusnya menjana rezeki dan peluang pekerjaan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pekebun kecil tempatan.

Aktiviti penanaman kenaf dilaksanakan secara berjadual pada bulan September dan Oktober sementara proses penuaian pula bermula pada bulan Januari hingga Mac setiap tahun. 

Kenaf, atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus, merupakan tanaman yang diperkenalkan di Malaysia secara komersial melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pada awal 2000-an untuk memberi nilai tambah kepada perusahaan pertanian di negara ini. 

Antara contoh potensi kenaf adalah sebagai sumber makanan ternakan (livestock feed) dan sebagai asas serabut (fiber) dan kandungan protein dalam kenaf menjadikannya sesuai sebagai sumber makanan ternakan berprotein tinggi. 

Nisbah protein dalam kenaf boleh diterjemahkan sebagai protein tambahan dalam pelbagai bentuk makanan ternakan termasuk pelet, silaj, kiub, jerami  yang sesuai untuk dicampurkan dengan makanan asas untuk ternakan di Malaysia. 

Menurut Mohd Shukri lagi, MoU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam program pembangunan industri kenaf melalui gerakan koperasi di Malaysia. 

“Inisiatif ini dilakukan untuk menggalakkan penglibatan syarikat swasta yang berminat membuat pelaburan baharu dalam industri kenaf,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2023

- Advertisement -