
MUMBAI: Ribut di luar pantai barat India yang ertambah kuat menjadi taufan dahsyat, dijangka melanda negeri di barat India Gujerat dan bahagian selatan Pakistan pada Khamis (15 Jun), minggu ini.
Jabatan Meteorologi India (IMD) pada Isnin (12 Jun) berkata, taufan itu yang dinamakan Biparjoy, dijangka mendarat pada petang tarikh tersebut antara Mandvi di Gujerat dan Karachi di Pakistan dengan kelajuan angin maksimum 125 kilometer per jam (kmj) hingga 135kmj, dan bergelora sehingga 150kmj, lapor Reuters.
Pejabat cuaca juga telah menasihatkan komuniti nelayan untuk menghentikan operasi dan pemindahan orang ramai dari kawasan pantai Saurashtra dan wilayah Kutch di Gujarat.
Dua pelabuhan terbesar di India, Mundra dan Kandla berada di Teluk Kutch, manakala kilang penapisan Jamnagar, kompleks penapisan minyak terbesar di dunia yang dimiliki oleh Reliance Industries, berpusat di Saurashtra.
Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel dalam Tweetnya berkata, tujuh kru Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India dan 12 pasukan Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri telah ditempatkan di daerah-daerah yang mungkin terjejas akibat ribut itu.
“Hampir sedozen daerah di pantai Gujerat dijangka akan terjejas oleh hujan lebat dan tiupan angin kencang, walaupun beberapa daerah berkenaan tidak mempunyai populasi tinggi, yang akan mengehadkan kerosakan dan risiko kematian,” ujar pula seorang pegawai pejabat cuaca, yang enggan namanya disiarkan.
Taufan dahsyat pada 1998 membunuh sekurang-kurangnya 4,000 orang dan menyebabkan ratusan juta dolar kerosakan di Gujerat.
“Biparjoy menangguhkan permulaan monsun tahunan di negeri selatan Kerala, tetapi kini keadaan menggalakkan untuk kemajuan hujan yang sangat diperlukan di beberapa bahagian lagi di Maharashtra, Karnataka, Andhra Pradesh dan Tamil Nadu,” kata pejabat cuaca India. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















