
KAHERAH: Seorang wanita hamil yang kediamannya ditembak, kereta yang dinaikinya terbalik di jalan raya dan berjalan selama beberapa jam dari Khartoum untuk sampai ke sempadan Mesir ditakdirkan telah melahirkan bayi di Kaherah dengan selamat, dalam kejadian yang dianggap sebagai suatu keajaiban itu.
Wanita berusia 25 tahun dan suaminya yang nama mereka dirahsiakan merupakan pelarian Eritrea, yang mana suaminya telah mendapat status pelarian di United Kingdom, dan memohon kepada Pejabat Dalam Negeri Sudan untuk mendapatkan visa pertemuan semula keluarga pelarian pada Februari 2022, lapor The Guardian.
Wanita tersebut bersama-sama anak perempuannya yang berusia tiga tahun terperangkap di ibu kota Sudan itu ketika konflik perang di bandar itu bermula.
Kediaman mereka dilanda tembakan dan mereka bergelut untuk mendapatkan makanan, air dan rawatan perubatan, sebelum wanita itu kemudiannya memutuskan untuk mencari perlindungan di Mesir.
“Kami tidak memberitahu anak perempuan kami apa-apa tentang perang di Khartoum kerana kami tidak mahu menakutkannya,” kata suami itu kepada The Guardian.
“Dia (anak) mendengar bunyi tembakan di Khartoum tetapi isteri saya memberitahunya supaya jangan risau kerana ia hanya sekadar bunga api.
“Isteri dan anak perempuan saya terpaksa meninggalkan segala-galanya apabila mereka melarikan diri dari Khartoum.
“Isteri saya baru hanya sempat mengambil sijil perkahwinan kami dan anak perempuan saya membawa seekor anak patung beruang kecil yang dipanggilnya Mohammed. Dia meminta untuk menamakan adik lelakinya dengan nama beruangnya itu,” tambah lelaki itu.
Ibu dan anak perempuannya memulakan perjalanan berbahaya selama empat hari dari Khartoum ke sempadan Mesir dengan menaiki lori, bas dan teksi.
Semasa perjalanan mereka, sebuah roda terkeluar dari kereta yang mereka naiki dan terbalik, tambah laporan The Guardian.
Walaupun beberapa penumpang cedera, kedua-duanya tidak cedera dan dapat meneruskan perjalanan mereka dengan kereta lain.
Kedua-duanya kemudian berjalan selama beberapa jam dari Pelabuhan Sudan ke lintasan sempadan di Mesir pada waktu tengah malam.
Wanita itu kemudian telah melahirkan bayi lelaki yang sihat di hospital Kaherah pada Rabu (24 Mei) lalu, lapor The Guardian.
Suami wanita itu yang segera cuba membawa keluarganya ke UK, telah menuduh Pejabat Dalam Negeri meletakkan nyawa mereka dalam bahaya akibat kelewatan yang lama.
Sejak 2019, bilangan pelarian yang ditempatkan semula di UK telah menurun sebanyak 75 peratus, manakala visa pertemuan semula keluarga adalah 40 peratus lebih rendah daripada tahap pra-pandemi.
Apabila pasangan itu mula-mula memohon visa perjumpaan keluarga, tempoh pemprosesan biasa adalah selama 12 minggu, tambah laporan The Guardian itu.
Walau bagaimanapun, apabila peguam keluarga itu bertanya tentang kelewatan pada bulan Februari, 12 bulan selepas permohonan dikemukakan, Pejabat Dalam Negeri berkata mereka menghadapi ‘kelewatan yang besar’ dalam kelulusan perjumpaan keluarga dan tidak akan dapat menyediakan tempoh masa yang dikemas kini untuk membuat keputusan.
“Saya harap permohonan visa perjumpaan keluarga akan diproses tidak lama lagi,” kata suami wanita sambil menambah: “Kelahiran bayi kami dengan selamat adalah satu keajaiban dan dia adalah tanda harapan untuk masa depan keluarga kami.
“Saya terpaksa membayar banyak wang untuk perjalanan keluar dari Khartoum bagi membawa isteri dan anak perempuan saya ke tempat yang selamat tetapi wang datang dan wang pergi … hanya nyawa yang paling penting.” – HARAKAHDAILY 29/5/2023




















