
MOGADISHU: Banjir menyebabkan hampir suku juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas sungai Shabelle di tengah Somalia pecah tebingnya dan menenggelamkan bandar Beledweyne, walaupun negara itu menghadapi kemarau paling teruk dalam tempoh empat dekad.
Agensi Pengurusan Bencana Somalia berkata, banjir di Beledweyne sahaja telah menyebabkan lebih 245,000 orang kehilangan tempat tinggal, lapor Reuters.
Hujan bermusim di Somalia dan di tanah tinggi Ethiopia mencetuskan banjir kilat yang menghanyutkan kediaman penduduk selain tanaman dan ternakan, dan menyebabkan sekolah dan hospital di Beledweyne, ibu kota wilayah Hiraan, ditutup sementara.
“Seluruh bandar Beledweyne berada di bawah air dan menjadi seperti lautan,” kata pekedai Ahmed Nur, yang perniagaannya turut musnah.
“Hanya bumbung rumah yang kelihatan. Kami menggunakan bot kecil dan traktor untuk menyelamatkan orang ramai,” katanya.
Terdahulu, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain kemarau, ditambah dengan keganasan dan lonjakan harga makanan yang disebabkan oleh perang di Ukraine, telah mengorbankan seramai 43,000 penduduk sepanjang tahun lalu.
Menurut pejabat kemanusiaan PBB (OCHA), sejak pertengahan Mac tahun ini, banjir telah menjejaskan lebih 460,000 penduduk di seluruh Somalia dan meragut 22 nyawa.

Agensi Pengurusan Bencana Somalia berkata, banjir di Beledweyne sahaja telah menyebabkan lebih 245,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Selepas bencana berturut-turut, sekurang-kurangnya seorang penduduk Beledweyne, ibu dua anak, Halima Abdullahi berkata senario semasa akan menjadikannya salah satu daripada 216 juta orang yang diramalkan Bank Dunia terpaksa berpindah dalam negara mereka sendiri menjelang 2050 kerana iklim tekanan.
“Kami akan berpindah ke kampung yang jauh. Beledweyne tidak lagi wujud,” katanya.
Terdahulu, agensi bantuan dan saintis telah memberi amaran bahawa perubahan iklim adalah antara faktor utama yang mempercepatkan kecemasan kemanusiaan, manakala yang terjejas adalah antara yang paling kurang bertanggungjawab terhadap pelepasan karbon dioksida (CO2). – HARAKAHDAILY 18/5/2023




















