
SITTWE, Myanmar: Angka kematian di Myanmar akibat Taufan Mocha yang melanda Teluk Bengal disahkan kini mencecah 81 orang susulan kawasan yang terputus hubungan kini sudah beransur pulih.
Sekurang-kurangnya 46 orang maut di perkampungan negeri Rakhine di Bu Ma dan berhampiran Khaung Doke Kar, yang didiami oleh minoriti Muslim Rohingya yang teraniaya, kata pemimpin tempatan kepada wartawan AFP di tempat kejadian.
Taufan Mocha mendarat di antara Cox’s Bazar di Bangladesh dan Sittwe di Myanmar yang sebahagian besarnya pada lewat Ahad (14 Mei) membawa angin sehingga 195 kilometer per jam (kmj), ribut terbesar pernah melanda Teluk Benggala dalam tempoh lebih sedekad.
Terdahulu, seramai 24 orang dilaporkan terbunuh di kawasan perkampungan Khaung Doke Kar di barat laut Sittwe, kata seorang ketua kem Rohingya kepada AFP pada Isnin (15 Mei), meminta namanya dirahsiakan kerana bimbang tindakan balas daripada junta tentera.
“Beberapa orang lagi dikhuatiri hilang dari kawasan rendah, kediaman kepada perkampungan Rohingya,” katanya.
Rakaman AFP dari kawasan itu menunjukkan bot nelayan kayu remuk hingga menjadi serpihan dan berlonggok berhampiran pantai.

Pihak junta tentera dalam satu kenyataan sebelum ini, tanpa memberikan butiran terperinci berkata sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di Myanmar dan beberapa penduduk mengalami kecederaan; dengan lebih 860 rumah dan 14 hospital atau klinik mengalami kerosakan di seluruh negara.
Komunikasi masih bercelaru pada Isnin dengan ibu negeri Rakhine, Sittwe, menempatkan kira-kira 150,000 mangsa.
Beratus-ratus penduduk yang berteduh di kawasan yang lebih tinggi kembali ke bandar di sepanjang jalan yang dipenuhi pokok, tiang dan kabel kuasa, tambah laporan AFP.

Di Sittwe, tiang kuasa elektrik tergantung rendah di atas jalan-jalan raya yang lengang dan pokok yang masih teguh berdiri tetapi tanpa dedaun yang sudah hilang diterbangkan ribut berkenaan.
“Sekurang-kurangnya lima orang maut di bandar itu (Rakhine) dan kira-kira 25 orang cedera, kata pekerja penyelamat tempatan, Ko Lin Lin kepada AFP.
Tidak jelas sama ada mana-mana daripada mereka termasuk dalam jumlah kematian seperti yang diumumkan menerusi kenyataan junta tentera sebelum..
Sementara merujuk kepada imej dalam media sosial, Taufan Mocha yang membawa gelombang ribut dan angin kencang itu telah meruntuhkan sebuah menara komunikasi di Sittwe.

“Saya berada di sebuah biara Buddha ketika ribut datang. Dewan ibadat dan dewan makan sami telah runtuh.
Kami terpaksa berpindah dari bangunan ini dan bangunan itu. Sekarang jalan terhalang kerana pokok dan tiang tumbang,” ujar seorang penduduk kepada AFP.
Media yang bersekutu Junta turut melaporkan bahawa ribut dahsyat berkenaan telah menyebabkan ratusan stesen pangkalan, yang menyambungkan telefon mudah alih ke rangkaian, tidak dapat digunakan di Rakhine. – HARAKAHDAILY 16/5/2023




















