Israel serang Gaza: Tiga komander Jihad Islam maut

Tiga komander kanan Jihad Islam yang terkorban dalam serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza pada awal pagi hari ini, Selasa 9 Mei 2023, (dari kiri), Khalil Bahtini, Jehad Ghannam dan Tareq Izzeldeen.
- Advertisement -

GAZA: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh termasuk tiga komander pertubuhan gerakan Jihad Islam, selain orang awam dalam serangan udara Israel pada awal pagi hari ini, Selasa (9 Mei).

Kenyataan yang diumumkan Kementerian Kesihatan Palestin itu bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci, namun pegawai hospital tempatan pula meletakkan angka kematian mencecah 10 orang.

Tentera Israel dalam kenyataannya pula mendakwa telah melakukan serangan ke atas sasaran anggota Jihad Islam di Gaza, yang berkata, tiga komander kanan kumpulan bersenjata itu terbunuh dalam serangan berkenaan, lapor TRT World.

“Pengeboman udara (oleh Israel) itu ditujukan ke kediaman tiga komander kanan kumpulan bersenjata Jihad Islam,” ujar kenyataan tersebut.

- Advertisement -

Saksi kejadian berkata, letupan kuat melanda tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri di Gaza dan sebuah rumah di selatan bandar Rafah di sini.

Tentera Israel berkata pengeboman udara, yang diberi nama kod ‘Operasi Perisai dan Anak Panah itu menyasarkan komander Jihad Islam di utara Gaza, Khalil Bahtini; Tareq Izzeldeen, perantara kumpulan itu antara anggota Gaza dan Tebing Barat, Tareq Izzeldeen; dan setiausaha majlis Jihad Islam, Jehad Ghannam.

Kenyataan mendakwa tiga-tiga mereka bertanggungjawab terhadap tembakan roket ke arah Israel baru-baru ini.

Sementara itu Jihad Islam yang merupakan sebuah pertubuhan gerakan pejuang Islam di Palestin yang lebih kecil berbanding Hamas yang lebih dominan, mengesahkan bahawa ketiga-tiga Bahtini, Izzeldeen dan Ghannam adalah antara yang maut dalam serangan udara Israel itu.

Serangan udara itu berlaku ketika ketegangan memuncak antara Israel dan Palestin di Gaza, yang ditadbir oleh Hamas.

Ketegangan itu dikaitkan dengan peningkatan keganasan di Tebing Barat yang diduduki, di mana Israel telah melakukan serbuan hampir setiap hari sejak beberapa bulan lalu untuk menahan warga Palestin yang disyaki merancang atau melakukan serangan ke atas warga Israel.

Letupan kuat melanda tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri akibat serangan udara terbaharu tentera Israel di Semenanjung Gaza pada awal pagi 9 Mei 2023. (FOTO: REUTERS)

Dalam menjangkakan serangan roket Palestin sebagai tindak balas kepada serangan udara itu, tentera Israel telah mengeluarkan arahan menasihatkan penduduk komuniti dalam jarak 25 batu (40 kilometer) dari Gaza untuk tinggal berhampiran dengan tempat perlindungan bom yang ditetapkan.

Pada minggu lalu, beberapa roket ditembak dari Gaza ke arah selatan Israel, dan tentera Israel bertindak balas dengan serangan udara berikutan kematian seorang anggota kanan Jihad Islam yang mogok laparan dalam tahanan Israel, Khader Adnan.

Serangan udara terbaharu itu menyamai  serangan pada 2022 yang menyaksikan Israel mengebom lokasi  komander Jihad Islam, mencetuskan serangan tiga hari menyebabkan menyaksikan kumpulan gerakan Islam  itu kehilangan dua komander tertingginya dan berpuluh-puluh pejuang lain.

Israel berkata serbuan di Tebing Barat bertujuan untuk merungkai rangkaian kumpulan bersenjata dan menggagalkan serangan masa depan. 

Namun, rakyat Palestin melihat siri serangan Israel itu sebagai usaha bagi penjajahan maksimum Israel selama 56 tahun di tanah air mereka yang selama ini diperjuang untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka pada masa depan.

Setakat ini, menurut laporan AS, 105 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis yang diduduki sejak awal 2023. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -