
DALAM keadaan ekonomi yang menekan, saya tidak bersetuju perkara ini dilaksanakan. Apa tindakan kerajaan yang memberi kesan positif langsung kepada ekonomi negara?
Bermula dengan pelbagai menu rahmah, yang menekan peniaga dalam keadaan harga barangan tidak turun. Penjual diminta menjual makanan siap dengan harga lebih murah, tetapi kos barang mentah semakin mahal. Akhirnya yang terbeban adalah peniaga. Projek gagal.
Kononnya nak mengawal harga makanan siap. Perkara itu dicanangkan dengan jelas dan terang di Parlimen, ‘road to’ harga nasi lemak RM2. Akhirnya mengakui tidak ada negara dalam dunia yang mampu mengawal harga makanan siap. Projek gagal.
Rakyat menuntut untuk dibenarkan menggunakan simpanan KWSP sendiri bagi kelangsungan kehidupan, kerajaan menghalang dengan menyuruh wang KWSP dicagarkan untuk membuat pinjaman. (Yang ini paling tak masuk akal). Akhirnya projek gagal.
Hari ini timbul pula cadangan mengalih beban ekonomi ini kepada majikan. Menaikkan caruman KWSP dari majikan dalam keadaan kelembapan ekonomi adalah satu cadangan yang tidak mendasar dan bukan pada masanya.
Saya sebagai rakyat menunggu pelan pemulihan ekonomi yang datang dari kerajaan. Bukan hanya mengalih beban ekonomi kepada peniaga, majikan, dan rakyat itu sendiri.
Kerajaan perlu bijak menggerakkan ekonomi dengan inisiatif sendiri menggunakan sumber negara. Malaysia negara kaya. Kekayaan itu perlu diuruskan dengan baik dan manfaatnya dipulangkan kepada rakyat.
Kalau tidak mampu mengurus dengan baik, berikan kepada yang mampu mengurus dengan baik. Malaysia ada 30 juta rakyat. Penuh dengan cerdik pandai dalam mengurus. ‘Let the right man do the right job’. Jangan jadi seperti tikus membaiki labu.
Saya bukan ahli ekonomi, tetapi saya rakyat, pengusaha sekolah dan majikan yang terbeban dengan pelbagai situasi ekonomi yang menekan. Kebanyakan beban itu datang dari cadangan Ruwaibidhah.
USTAZ AIREROSHAIRI ROSLAN
Naib Yang DiPertua
PAS Kawasan Kuala Krau – HARAKAHDAILY 2/5/2023




















