Kanak-kanak jadi sasaran Islamofobia di AS

- Advertisement -

WASHINGTON: Kanak-kanak Islam di Amerika Syarikat (AS) semakin banyak melaporkan kejadian kebencian anti-Muslim di sekolah, walaupun aduan mengenai sentimen dan perbuatan kebencian secara keseluruhan kelihatan menunjukkan penurunan.

Mengikut laporan bertajuk Kemajuan Bayangan Prejudis yang dijalankan oleh Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR), iaitu pertubuhan hak sivil Muslim terbesar di AS, terdapat peningkatan 63 peratus yang mengejutkan dalam laporan kebencian anti-Muslim daripada pelajar sekolah.

- Advertisement -

“Buli di sekolah dan penggunaan bahan Islamofobia dalam bilik darjah adalah membimbangkan. Walaupun kami gembira melihat penurunan dalam kejadian yang diterajui kerajaan, kanak-kanak menjadi sasaran utama kebencian Islamofobia,” kata Pengarah Penyelidikan dan Advokasi CAIR, Corey Saylor.

Beliau menarik perhatian kepada kejadian pada Oktober 2022 apabila seorang gadis Afghanistan, pelajar gred 9 di sekolah menengah Maryland, menjadi mangsa keganasan pelajar lain apabila memasuki bilik mandi untuk membetulkan tudungnya.

Gadis itu cuba melarikan diri, tetapi pintu dikunci oleh seorang pekerja sekolah.

Dalam kejadian lain, seorang guru di Florida bukan sahaja menghalang tiga pelajar Islam ketika mereka sedang bersolat, malah hampir memijak pelajar berkenaan. Kejadian itu dirakam dalam video dan disebarkan secara meluas dalam talian.

Selain pendidikan, trend peningkatan sikap anti-Muslim berterusan dalam bidang seperti perbankan, dengan membuka dan menutup akaun dibuat berdasarkan kepercayaan agama, sekali gus menjadikan transaksi kewangan sebagai antara cabaran utama bagi umat Islam.

Tinjauan Institut Dasar Sosial dan dan Kefahaman pada Mac lalu, mendapati bahawa institusi kewangan menyebabkan cabaran kepada 27 peratus umat Islam di AS.

Menurut Saylor, undang-undang seperti Akta Patriot yang berkuat kuasa di AS selepas 11 September memberikan agensi perisikan kuasa pengawasan yang luas dan memudahkan diskriminasi.

Namun bukan semua berita buruk di AS. Walaupun terdapat peningkatan dalam beberapa bidang, laporan keseluruhan mengenai sentimen anti-Muslim di AS menunjukkan penurunan buat kali pertama dalam hampir tiga dekad, menurun sebanyak 23 peratus sejak 1995.

Terdapat peningkatan sebanyak 32 peratus dalam sentimen anti-Islam dalam penguatkuasaan undang-undang dan kerajaan pada tahun pertama bekas Presiden AS, Donald Trump berkuasa di Rumah Putih, Saylor mencadangkan trend penurunan pada 2022 boleh dikaitkan dengan perubahan kerajaan di Washington.

Beliau juga menyatakan bahawa apabila penguatkuasaan undang-undang AS mula memfokuskan terhadap ancaman sebenar selepas serangan Capitol pada 6 Januari 2021, pengawasan yang terlalu meluas dan penempatan pemberi maklumat terhadap umat Islam yang mematuhi undang-undang akan berkurangan dengan sewajarnya.

Bagaimanapun menurut Saylor, rakyat AS masih belum menerima minoriti Islam di negara itu sebagai sebahagian daripada masyarakat negara itu. Ketika kemerosotan dalam sentimen anti-Muslim menimbulkan harapan bagi umat Islam AS, diskriminasi terhadap masyarakat lain meningkat.

“Tanda-tanda positif yang kita lihat pada 2022 tidak bermakna kita harus mengurangkan tahap kewaspadaan, kebencian masih ada di sekeliling kita. Kita melihat kebencian anti-Semitik dan anti-Asia semakin meningkat. Kami melihat keganasan berterusan terhadap orang coklat dan kulit hitam,” kata Saylor.

“Penurunan laporan kejadian anti-Islam memberikan kita harapan. Sebarang keyakinan mesti diikuti dengan aktivisme. Ini bukan masa untuk berhenti,” tambahnya.

Saylor meminta masyarakat Islam AS untuk terus aktif secara terbuka dan membuatkan suara mereka didengari, mengatakan ketidakadilan perlu dihadapi dengan perbicaraan di mahkamah, serta undang-undang baharu yang melindungi komuniti minoriti.

“Jika berdiam diri, anda akan menjadi sasaran orang lain. Jika anda bangun dan mempertahankan diri, mereka akan mencari cara lain untuk menangani perasaan negatif mereka.

“Jika anda tidak berada di meja, maka anda berada dalam menu,” kata Saylor. – AL JAZEERA

- Advertisement -