
BARU-baru ini ada pemimpin Kerajaan Persekutuan menggunakan isu bekalan air sebagai modal untuk menyerang Kerajaan Negeri.
Sifir yang diketengahkan adalah jika Kerajaan Negeri satu warna yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, maka isu bekalan air boleh diselesaikan sekali gus.
Itulah tongkat magik yang dicanang ibarat kata-kata ‘hari ini menang, esok harga minyak turun’.
Malangnya apa yang dicanangkan itu tersasar daripada realiti sebenar yang cuba diselindungkan. Tidak ada tongkat magik dalam isu ini.
Faktor yang mendorong masalah bekalan air di Kedah adalah disebabkan ketidaksepadanan tahap pembangunan di negeri ini selain ketiadaan rizab margin simpanan serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
Tanpa menafikan kekusutan semasa isu bekalan air di Kedah, usaha untuk memulihkan infrastruktur perkhidmatan air di negeri ini sememangnya ‘on track’ dan sudah pun mencapai beberapa ‘milestone’ penting.
NRW kita 46.7 peratus berdasarkan data dalam Pelan Kedah 2035. Dalam Laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2020, NRW Kedah adalah 48.4 peratus.
Oleh itu, rancangan untuk menaiktaraf perkhidmatan dan infrastruktur bekalan air di Kedah telah bermula sejak tahun 2010 lagi di bawah pentadbiran Menteri Besar Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.
Pelan penaiktarafan air di Kedah distrategikan kepada dua perkara; pertama, pembinaan dan penaiktarafan Loji Rawatan Air (LRA) bagi meningkatkan bekalan air.
Kedua, mengurangkan kadar NRW bagi memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air yang tinggi kepada penduduk.
Maksudnya, kalau bekalan air tinggi sekalipun, tapi jika paip uzur, selalu bocor dan usang, bekalan air yang sampai kepada penduduk tetap rendah dan akan terganggu.
Apabila kerajaan baharu negeri naik pada tahun 2018 (PH), kesemua projek naik taraf LRA dihentikan kononnya untuk rundingkan semula tender.
Projek naiktaraf lima LRA iaitu Pendang, Pelubang, Bukit Selambam, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama menelan belanja RM931 juta sepatutnya tamat pada tahun 2021.
Selepas kononnya kajian semula harga tender dan sebagainya, kos yang sama masih dikekalkan untuk projek naik taraf air. Bekas Exco Bekalan Air daripada Umno sendiri (YB Dato Suraya) keras mengkritik langkah tempang Kerajaan PH itu.
Akhirnya, kita telah membuang masa selama dua tahun dengan Exco ketika itu (zaman PH) sekadar merasmikan paip air baharu!
Apabila YAB Sanusi menjadi Menteri Besar, bukan sahaja projek naik taraf LRA diteruskan, bahkan pentadbiran korporat SADA juga dibaik pulih.
Tahun 2019, SADA mengalami kerugian RM36 juta. Tahun 2021, SADA mencatatkan keuntungan RM27 juta. Aliran tunai SADA diselamatkan.
Allahyarham Dato Azmi Din yang berkerusi roda dilantik menjadi Pengarah Urusan SADA. Beliau yang banyak berjasa sehingga berjaya merundingkan Perjanjian Pelaksanaan Program NRW dengan Rai Utility Sdn Bhd pada Disember 2022.
Dalam Pelan Kedah 2035 sasar pengurangan NRW adalah satu peratus bagi setiap tahun.
Dalam perancangan Kerajaan Negeri, penswastaan projek NRW selama 15 tahun ini dengan sasaran NRW berkurang sehingga 25 peratus.
Semakin rendah NRW, semakin tinggi bekalan sampai kepada penduduk. Perlis, Kelantan dan Pahang antara negeri yang mempunyai NRW yang tinggi.
Projek naik taraf lima LRA tadi pula dijangka siap secara berperingkat pada tahun ini sehingga tahun hadapan berdasarkan jawapan Kementerian di Parlimen pada 23 Februari 2023.
Sebab itu pemimpin PH atau BN berani main dengan ‘tongkat magik’. Hakikatnya, semasa kerajaan depa dulu tidak ke mana pun.
Aku menulis ini sebab nak merakamkan usaha yang pelbagai telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri semasa.
Kalau kita sekadar berhujah, Kerajaan Negeri perlu sama dengan Kerajaan Persekutuan barulah kesemua isu boleh selesai, maka kita telah tersilap.
Selama puluhan tahun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah adalah daripada parti keris yang sama.
Ketika tahun 2018 pun, kerajaan ‘merah’ menguasai kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri.
Tetapi tiada progres yang positif pun untuk selesaikan isu air. Sekadar menangguk di air yang keruh adalah, macam depa duk buat sekarang.
HAFIZ MANSOR – HARAKAHDAILY 2/5/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0vK6nHEDUTrrU7ecxNgMyGC8VVqmV7UMUZ1rKe5mjyaWuNggh9Cs1XFUQ9T7giEG5l&id=100001607375200&sfnsn=mo&mibextid=RUbZ1f
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















