
ALOR SETAR: Pemimpin Amanah, Dato’ Mahfuz Omar diminta merujuk kepada peguamnya sebelum membuat dakwaan terhadap Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya gagal membayar tuntutan saman fitnah terhadapnya.
Menteri Besar Kedah itu berkata, semua urusan diserah kepada peguam sejak perbicaraan itu bermula sehingga tamat.
“Semua urusan diuruskan oleh peguam dan bukannya antara saya dan dia (Mahfuz). Nampak sangat (dia) nak raih publisiti,” katanya, di sini, semalam.
Mahfuz yang juga Pengerusi Amanah Kedah sebelum ini mendakwa Sanusi gagal membayar saman sebanyak RM120,000 seperti mana diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya sebelum ini.
Malah melalui kenyataan yang dilaporkan media, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga akan menuntut pampasan dua kali ganda iaitu RM240,000 sekiranya masih gagal dilunaskan.
Sanusi juga berkata, beliau sudah mengarahkan peguam membuat bayaran tuntutan berkenaan.
“Tidak perlu berpolitik seperti era tahun 1960-an sebab ia tidak sesuai lagi. Rakyat sudah cerdik. Tentang (nak) minta duit, (tetapi) buat Tiktok nak cetus buruk sangka kepada pihak lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2023




















