PRN: Muktamar PAS ke-69 ditangguh

Takiyuddin dalam majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Suri anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan pada hari ini, 28 Apr 2023.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang sepatutnya diadakan 3 hingga 5 Mei ini ditangguh kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, penangguhan itu dilakukan untuk memberi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri termasuk Kelantan. 

- Advertisement -

“Ikut jadual, Kelantan sepatutnya sebagai tuan rumah muktamar tahun ini. Namun, tarikh baharu belum diputuskan bagaimanapun kemungkinan ia akan diadakan September hadapan sebagaimana tahun lepas di Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Suri anjuran Pusat Khidmat Dun (PKD) Tanjong Mas, pada hari ini.

Program tersebut diadakan di pekarangan Kompleks Masjid Redha’uddin, Wakaf Mek Zainab dekat sini.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, mesyuarat PAS Pusat memutuskan untuk menangguhkan muktamar bagi memberi tumpuan menghadapi PRN yang akan diadakan sama ada Julai atau Ogos tahun ini kelak.

“Tahun lalu juga dibuat pada September, cuma hasrat awalnya untuk mengadakan muktamar lebih awal tahun ini, nampaknya terpaksa ditangguhkan juga,” ujarnya yang menambah bahawa PAS mempunyai sebanyak 197 kawasan di seluruh negara.

Beliau juga memberitahu, mesyuarat agung PAS peringkat kawasan dan cawangan telah selesai diadakan di seluruh negara. 

“Begitu juga muktamar peringkat dewan-dewan di setiap negeri sudah diadakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2023

- Advertisement -