Memandu 40km cari etak di Sungai Golok

Nurul Ain menunjukkan hasil etak yang diperolehinya dari Sungai Golok pada hari ini, 28 Apr 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ain Manaf)
- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Penyusutan paras Sungai Golok berikutan cuaca panas sekarang dimanfaatkan orang ramai untuk mencari etak sebagai rezeki tambahan.

Sementelah, ada penduduk dari di luar Rantau Panjang turut datang untuk mencari etak di Sungai Golok.

- Advertisement -

Nurul Ain Ab Hamid, 32, dari Ketereh berkata, dia sanggup memandu sejauh hampir 40 kilometer membawa keluarga mandi-manda di Sungai Golok, di samping mencari etak.

Menurutnya, dua mengetahui keadaan terkini di Sungai Golok melalui laman media sosial apabila melihat rakan-rakan memaparkan foto mencari etak di situ.

“Sebaik mengetahui tentang perkara itu, saya turut datang dengan membawa keluarga dan anak-anak  ke sini.

“Kami begitu teruja dan rasa berbaloi menghabiskan masa di sini kerana etak yang kami dapat bersaiz agak besar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang penduduk tempatan Syed Mohd Azizuddin Syed Omar, 37, pula berkata, dia turut merebut peluang datang mencari etak di Sungai Golok.

Katanya, dia bersama-sama ahli keluarganya berjaya memperolehi kira-kira 4 kilogram etak dalam tempoh 2 jam.

“Saya turun ke Sungai Golok dari jam 7.30 sehingga 9.30 pagi mencari etak untuk dijadikan juadah seperti masak lemak gulai etak dan sebagainya.

“Ramai hanya menggunakan tangan untuk mengaut etak,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2023

- Advertisement -