
KUALA LUMPUR: “Sejauh mana kerajaan memandang serius akan isu penghantar p-hailing yang sering berisiko dalam kemalangan jalan raya?”
Itu persoalan yang diutarakan Senator Dato’ Husain Awang yang berkata bahawa, data menunjukkan seramai 112 daripada 1,242 penghantar p-hailing meninggal dunia dari tahun 2018 sehingga Mei 2022.
“Ini merupakan angka yang begitu besar. Kerajaan perlu menjaga kebajikan perlindungan kepada penghantar p-hailing terutama yang melibatkan penggunaan di jalan raya,” tegasnya.
Ini kerana menurutnya, kebanyakan penghantar p-hailing mengejar masa ke sesuatu destinasi sehingga merisikokan nyawa.
Beliau memnbangkitkan perkara tersebut dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menjelaskan hujahnya lebih lanjut, katanya, penggiat syarikat p-hailing seharusnya memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan ekosistem yang mesra pengguna dan menjaga rakan kongsi (p-hailing) sebaik mungkin.
“Sekiranya tiada yang mahu manjadi penghantar p-hailing, saya percaya syarikat-syarikat p-hailing juga tidak akan mendapat keuntungan.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan syarikat p-hailing tidak menekan (p-hailing) dengan peraturan yang tidak munasabah sepertimana yang berlaku kepada perkhidmatan p-hailing dalam isu rating, ia berlaku kepada penghantar p-hailing yang dikenakan dengan bayaran murah.
“Masa diberikan untuk penghantaran tidak munasabah. P-hailing terpaksa kejar pesanan dan sebagainya yang merisikokan nyawa mereka,” katanya.
“Justeru, kerajaan wajar melihat secara meluas dalam pelbagai aspek isu keselamatan penghantar p-hailing di jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023




















