Fail kes pengguguran Pengerusi Masjid ke mahkamah

MAINPP enggan akur tuntutan mereka yang dipilih secara sah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bakal dihadapkan kepada tindakan undang-undang dalam kes pengguguran Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Masjid di negeri itu.

Peguam, Yusfarizal Yussoff memberitahu, pihak menerusi firma Yusfarizal Aziz & Zaid akan meneruskan langkah-langkah untuk memfailkan tindakan guaman terhadap MAINPP dalam kes tersebut.

“Kami menerima Surat Jawapan Tuntutan daripada MAINPP hari ini bagi kelima-lima masjid di mana kandungannya sama seperti yang dilampirkan.

“Surat Jawapan ini tidak menjawab tuntutan mahupun memberi penjelasan berkenaan keputusan yang dibuat,” ujar beliau mewakili enam individu selaku anak guam kes ini.

Semua mereka sebelum ini telah dipilih secara sah selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi melalui Mesyuarat Agung Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang Sesi 2023-2025.

Bagaimanapun enam individu yang masing-masing dari lima masjid ini telah dinafikan pengesahan untuk lantikan rasmi apabila digugurkan daripada jawatan tersebut oleh MAINPP menggunakan peruntukan termaktub.

Sehubungan itu mereka menerusi firma guaman tersebut telah mengemukakan tuntutan berkaitan, namun Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman enggan akur dengan tuntutan itu.

Mereka ialah Omar Hassan yang sebelumnya dipilih sebagai Pengerusi Kariah Masjid Al Muhajirin Seberang serta Zabidi Ramli dan Ali Yusoff sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Kariah Masjid AI-Mustaghfirin Sungai Tiram. 

Juga Zakaria Ismail sebagai Pengerusi Kariah Masjid Ridwaniah Sungai Batu dan Ahmad Zawawi Mohd Ali sebagai Pengerusi Kariah Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah. 

Serta Mohd Anur Hussin sebagai Pengerusi Kariah Masjid Abu Ubaidah lbni Al-Jarrah Bandar Tasek Mutiara di mana telah melalui proses serta tatacara pemilihan yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -