
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah melalui Pelan Strategik Pembangunan Insan telah menggariskan pelbagai usaha dan inisiatif untuk pembangunan rakyat sejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, melalui sembilan teras utama, pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan bersesuaian dengan tema Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.
Beliau memberitahu bahawa pihaknya juga telah menerbitkan sebuah buku yang menggariskan 40 hadis bertemakan pembangunan insan dan telahpun diedarkan kepada masyarakat awam.
“Buku ini juga boleh digunakan oleh para pendakwah dan tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketija menjawab pertanyaan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) pada sesi soal jawab, sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.
Dalam sesi berkenaan pagi tadi, Mohd Azam memohon penjelasan berkenaan usaha kerajaan negeri membangunkan rakyat dari sudut jasmani, rohani, emosi dan intelek sesuai dengan tema, Kedah Sejahtera.
Dalam masa yang sama, Ashah berkata, selain memberi fokus kepada pembentukan rohani, pihaknya juga menyediakan program-program yang sekaligus merancakkan ekonomi dan peniaga kecil persekitaran.
“Contohnya, Karnival Kedah Sejahtera 2023 baru-baru ini, dengan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan agama tersohor seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang, Ustazah Asmak Husin, Ustaz Yaakub Yusra dan lain-lain, ia secara tidak langsung mendapat sambutan ramai dan membantu merancakkan ekonomi peniaga persekitaran,” ujar belia.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga memberi fokus kepada kepada penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negeri.
Bicara Nur Ala’ Nur sebagai contohnya yang telah di mulakan sejak 2021 merupakan platform perkongsian ilmu melalui para asatizah yang bertauliah kepada para penjawat awam di seluruh negeri Kedah.
Program tersebut, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Adun Merbau Pulas itu, juga boleh diakses oleh masyarakat umum melalui siaran langsung di beberapa laman milik kerajaan serta pemimpin negeri.
“Antara lain, program Qaryah Ramadan di Dataran Zero, Sungai Petani yang dilaksanakan baru-baru ini secara tidak langsung dapat menghidupkan suasana bulan Ramadan kali ini, khusus kepada umat Islam dengan amalan keagamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2023




















