Padah melabur dalam bon kerajaan: SVB muflis

Bank Silicon Valley (SVB) diisytiharkan muflis setelah pelanggannya membuat pengeluaran duit simpanan dalam bank tersebut secara besar-besaran. (FOTO: Business Insider)
- Advertisement -

SANTA CLARA, California: Bank Silicon Valley (SVB) diisytiharkan muflis setelah pelanggannya telah membuat pengeluaran duit simpanan mereka dalam bank tersebut secara besar-besaran.

SVB banyak terlibat dengan melabur dalam hampir separuh daripada syarikat baru membangun dalam industri teknologi, diikuti 44 peratus syarikat teknologi dan industri kesihatan disokong oleh Amerika Syarikat yang telah berjaya masuk ke pasaran awam  tahun lalu, lapor Bloomberg.

- Advertisement -

Bank yang berpusat di Santa Clara, California itu telah ditubuhkan sejak 39 tahun lalu bermula pada 17 Oktober 1983  merupakan bank ke-16 terbesar di Amerika Syarikat terkini yang cukup dikenali sebagai bank yang mempunyai industri teknologi yang canggih, bijak membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan serta mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak walaupun ketika waktu pandemik COVID-19.

Namun, SVB mula menghadapi masalah kewangan setelah melakukan satu kesilapan yang besar, selepas melabur secara besar-besaran dalam bon (janji hutang) kerajaan. 

Apabila Rizab Federal AS (Federal Reserve) mula menaikkan kadar faedah yang bertujuan untuk membendung masalah inflasi, ia akan menyebabkan penurunan nilai pemegang-pemegang bon kerajaan akibat daripada kenaikan kadar faedah tersebut. 

Kesannya,  SVB yang telah melabur besar-besaran dalam bond kerajaan tersebut juga tidak terkecuali menghadapi kerugian yang amat banyak sehingga menyebabkan ia mengalami  kekurangan wang tunai sebagai dana kecemasan untuk menghadapi sebarang krisis; dan akibat buruknya ialah pada 8 Mac 2023, kesemua pelanggannya menyerbu bank itu untuk bagi mengeluarkan duit mereka secara besar-besaran – dalam kejadian yang dikenali dengan istilah ‘bank run’.

Kejadian itu telah menyebabkan banyak pelanggannya menghadapi kerugian termasuklah syarikat Pinterest Inc., Shopify Inc. dan CrowdStrike Holdings Inc.

Krisis sebegini mengikut maklumat daripada Bloomberg, ‘berpotensi menyebabkan impak domino iaitu kegagalan demi kegagalan terhadap sistem kewangan yang lain’.

Dalam pada itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yalen dalam laporan Wall Street Journal berkata, beliau telah bekerja keras sepanjang hujung minggu dengan pengawal selia perbankannya untuk menubuhkan dasar yang sesuai untuk menangani situasi buruk berkenaan. 

“Kami ingin memastikan bahawa masalah yang wujud dalam satu bank tidak akan menimbulkan penularan kepada setiap perbankan yang lain. 

“Kami mengambil berat tentang pendeposit dan memberi tumpuan untuk cuba memenuhi keperluan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -