Penganiayaan politik selektif terhadap Muhyiddin

Antara cara untuk kalahkan PN dalam PRN enam negeri

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang dihadapkan kepada satu penganiayaan politik selektif dengan mengheretnya kepada tuduhan rasuah oleh pemerintah hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tinggi BERSATU, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan ia kerja kotor oleh kerajaan hari ini dan satu cara menjelang PRN enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Matlamatnya hanyalah satu iaitu untuk cuba menjatuhkan BERSATU dan PN kerana mereka tidak mempunyai cara lain untuk mengalahkan kami dalam PRN enam negeri itu,” ujar beliau, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu bersama Ahli-ahli Parlimen PN dan para penyokong sedang berhimpun di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini sejak jam 9 pagi tadi.

Mereka hadir sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada Muhyiddin selaku juga Ahli Parlimen Pagoh yang akan diambil keterangan di situ berhubung siasatan susulan tuduhan rasuah Jana Wibawa.

Sejak semalam tular di pelbagai media bahawa Pengerusi BERSATU itu juga akan ditahan SPRM sejurus memberi keterangan hari ini selama beberapa hari sebelum kes dihadapkan ke pendakwaan di mahkamah.

Saifuddin dalam ulasannya juga membayangkan bahawa pendakwaan tersebut sebagai dirancang dilakukan sehari sebelum Perhimpunan Agung BERSATU yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

“Sangat malang dan amat dikesali adalah kerana kerajaan hari ini sepatutnya membawa agenda Reformasi. Tetapi melakukan perbuatan seperti ini. So, i thing this is really something, not propers,” ujarnya.

Pimpinan PAS dalam kalangan Ahli-ahli Parlimennya juga dilihat telah tiba menyertai sama solidariti tersebut, di mana malam tadi juga telah mengeluarkan arahan untuk mengadakan solat hajat seluruh negara.

Majlis dinamakan ‘Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman’ itu akan bermula di Markas Tarbiyyah PAS Taman Melewar disusuli di semua PAS Negeri dan Kawasan seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -