Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM

Muhyiddin dikerumuni pihak media sebaik tiba di pekarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 Mac 2023 disahkan oleh SPRM akan dihadapkan di mahkamah esok.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri  Muhyiddin Yassin tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini jam 11.15 pagi bagi memberi keterangan berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa).

Muhyiddin yang terdahulu diminta hadir ke situ untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung perkara itu pada hari ini, tiba di sini dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Velfire berwarna hitam diiringi tiga buah kereta lain sebelum dikerumuni penyokong dan pemberita.

- Advertisement -

Beliau yang kemudian berjumpa penyokongnya turut disambut dengan takbir, sorakan dan selawat sebelum diiringi untuk masuk ke ibu pejabat SPRM dan dijangka akan selesai berurusan di situ pada jam 3 petang ini.

Terdahulu, sejak jam 9 pagi lagi, sekumpulan penyokong Muhyiddin yang memakai baju-T putih mula berkumpul di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM bagi memberi sokongan kepada  beliau.

Turut kelihatan Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azzumu; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari. 

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu hantaran menerusi Facebook berkata, beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11 pagi hari ini.

Pihak media berkumpul sejak jam 9 pagi di pekarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 Mac 2023.

Sementara, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman sebelum itu berkata, seluruh barisan kepimpinan tertinggi parti itu sudah diarah bersiap sedia untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pagi ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk spekulasi Muhyiddin ditahan.

Sejak petang semalam, spekulasi bertiup kencang bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Laporan MalaysiaNow semalam melaporkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal pada hari ini.

“Setakat ini, masih belum jelas pertuduhan yang akan dikenakan terhadap presiden Bersatu itu yang mengetuai kerajaan semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Penyokong Muhyiddin hadir penuh semangat di pekarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 9 Mac 2023.

“Akan tetapi desas-desus ini muncul selepas beberapa minggu pemimpin kerajaan menyerang Bersatu, disusuli dengan soal siasat terhadap pemimpin parti itu berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera,” ujar laporan itu.

Terdahulu, SPRM telah membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

Pada 20 Februari lalu, Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor telah ditahan dan didakwa SPRM.

Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran kerajaan  Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri – lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -