Noktahkan diskriminasi kepada pembangkang

- Advertisement -

SIKAP ‘double standard’ dengan menafikan hak negeri pembangkang dan politik ‘scrape off’ yang merugikan kerajaan negeri serta negara nampaknya telah menjadi budaya bagi Kerajaan Madani.

Persoalan mengenai hak royalti minyak Negeri Kelantan dan Terengganu, agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kepada negeri serta kaedah saluran peruntukan negeri pembangkang terus menerus menjadi persoalan tanpa jawapan yang tuntas daripada kerajaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di dalam Dewan Rakyat hari ini juga dengan sengaja telah mengelirukan dewan apabila menyatakan bahawa negeri pembangkang mendapat ‘peruntukan paling tinggi’ di dalam belanjawan negara.

Sedangkan jika diperincikan peruntukan yang disebut oleh beliau untuk empat buah negeri PERIKATAN NASIONAL bukanlah 50 peratus tetapi hanyalah 17 peratus. Adakah ini yang Rafizi maksudkan sebagai tertinggi?

Hakikatnya sikap ini tidaklah asing bagi Pakatan Harapan kerana janji Tawaran Pakatan Harapan PRU15 untuk memberi peruntukan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen juga dengan mudah dimungkiri oleh Kerajaan Madani ini.

https://bit.ly/3J2h2ZQ

Amat mendukacitakan apabila peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang langsung tidak disebut dalam pembentangan belanjawan sedangkan CDF ini amat diperlukan oleh semua wakil rakyat untuk menyelesaikan keperluan pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Tidak dilupakan tindakan kerajaan menyalurkan bantuan melalui JPP negeri dan hasrat menubuhkan kembali JPKKP sebelum ini yang merupakan pelanggaran demokrasi dan sebuah diskriminasi yang jelas lagi nyata.

Jika Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Johor boleh memberi peruntukan kepada semua ADUN tanpa mengira kerajaan atau pembangkang, kenapa tidak Kerajaan Persekutuan yang Madani mencontohi negeri-negeri ini dengan bersikap adil kepada semua rakyat. 

Jika benar kerajaan ingin memaknai Madani ini, bergeraklah ke arah reformasi institusi seiring dengan janji yang diberikan. Berhentilah memberi kenyataan yang dusta dan mengelirukan.

Justeru selaras dengan prinsip Islam serta semangat demokrasi, kerajaan digesa untuk menoktahkan budaya politik dendam dan penjajahan moden ini. 

Seperti yang disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS, ‘Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.’

Sekian.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan 
PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -