Peralatan sekolah naik harga bebankan ibu bapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kurang daripada dua  minggu sahaja lagi, sesi persekolahan baharu bagi tahun 2023 akan bermula.

Tinjauan HarakahDaily di sekitar ibu kota Kuala Lumpur mendapati, ramai dalam kalangan ibu bapa mengakui mereka dilanda keresahan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak tinggi bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka, ditambah pula keadaan kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

Rata-rata mereka menegaskan terpaksa membelanjakan antara RM200 hingga RM300 ke atas bagi membeli kelengkapan sekolah untuk seorang anak. 

- Advertisement -

Fasilitator di sebuah agensi swasta, Mohd Khairul Nizam Yusof, 43, berkata, beliau mempunyai dua orang anak yang akan memulakan sesi persekolahan pada pertengahan Mac ini. 

“Bagi saya, perbelanjaan untuk keperluan anak sulung yang akan memasuki darjah 5 pada tahun ini hampir mencecah RM400. Perbelanjaan ini adalah kelengkapan sekolah sahaja seperti baju, kasut, beg sekolah dan alat tulis sahaja. 

“Perbelanjaan ini belum lagi mengambil kira yuran sekolah kebangsaan dan yuran Kelas Pengajian Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA),” keluhnya. 

Tambahnya, sesi pembukaan sekolah pada Mac ini juga, anak keduanya pula yang akan memasuki darjah satu.

Mohd Khairul Nizam

“Bagi anak kedua ini, saya terpaksa menyediakan perbelanjaan lebih untuk membeli kelengkapan sekolah seperti anak yang sulung. 

“Dalam hal ini, saya dan isteri cuba berjimat dengan menggunakan semula pakaian si kakak untuk dipakai semula oleh adiknya. Namun begitu, kami dapati tidak semua kelengkapan sekolah yang telah dimiliki oleh si kakak masih elok digunakan oleh si adik. 

“Kami juga terpaksa membeli kelengkapan yang baharu kepada si adik kerana kami dapati peralatan sekolah seperti baju sekolah yang telah sedia ada telah rosak, lusuh dan tidak sesuai lagi untuk dipakai oleh adiknya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, jika kami hitung, kos perbelanjaan persekolahan yang dikeluarkan bagi dua orang anak yang akan memulakan sesi persekolahan pada Mac ini hampir mencecah RM1,000. 

“Kami sangat terasa dengan kenaikan peralatan sekolah ini berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini,” luahnya.

Seorang penjawat awam, Ahmad Fadhil Husin, 43, pula memberitahu HarakahDaily bahawa dia dan isterinya lebih suka membeli persiapan persekolahan anaknya lebih awal. 

Sebelum saya dan isteri membeli segala persiapan ini, kami akan tengok dahulu sama ada beg dan pakaian sekolah kebangsaan dan sekolah KAFA anak masih elok untuk dipakai pada tahun seterusnya. Jika ada yang masih elok, kami akan biarkan si anak menggunakan lagi untuk sesi persekolahan pada Mac ini. 

Ahmad Fadhil

“Buat permulaan ini, kami hanya membeli 2 pasang kelengkapan pakaian sekolah yang baharu untuk dipakai di sekolah kebangsaan. Bagi pakaian sekolah KAFA pula, kami tidak membeli pakaiannya, kerana didapati masih elok dan muat lagi untuk dipakai oleh anak saya. 

“Kami juga telah membeli sepasang lagi tambahan kasut dan stokin sekolah buat anak. Semasa membeli kelengkapan persekolahan ini, kami akan mencari kedai yang menjual barangan persekolahan yang memberikan kadar diskaun bagi dapatkan penjimatan.

“Anggaran kos yang kami telah keluarkan untuk menyediakan kelengkapan sekolah bagi seorang anak kami pada sesi persekolahan ini adalah sebanyak RM400. Jumlah ini belum lagi termasuk bayaran yuran persekolahan untuk sesi pagi dan petang,” ujarnya. 

Sementara itu, seorang suri rumahtangga yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita, 45, yang mempunyai mempunyai enam orang anak mengakui dirinya agak terbeban dalam menanggung kos peralatan persekolahan.

“Bagi saya, mengurus dan mengatur perbelanjaan untuk enam orang anak yang kesemuanya masih bersekolah amat mencabar, ditambah pula dengan kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah pada masa kini begitu memeningkan kepala. 

“Seorang anak saya belajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT), semester dua dan menginap di kolej. Tiga orang lagi anak saya berada di sekolah menengah iaitu tingkatan 5, 3 dan 1.

“Dua daripadanya tinggal di asrama. Manakala, dua orang lagi berada di sekolah rendah iaitu berada di darjah 5 dan 3. Jika ikutkan perbelanjaan untuk persiapan persekolahan anak sememangnya kami memerlukan perbelanjaan yang besar untuk kami keluarkan. 

“Oleh yang demikian, kami sangat mengamalkan perbelanjaan yang berjimat sehabis mungkin dengan cara, berbelanja di kedai yang harga betul-betul ekonomi. Bagi peralatan yang masih elok dipakai, kami akan pastikan anak-anak ‘recycle’ semula. Contohnya, baju dan kain, beg, kasut sekolah. 

“Dari segi pakaian sekolah anak-anak pula, saya hanya membeli kain ela di kedai kain dan akan menjahit sendiri  pakaian sekolah mereka berbanding membeli pakaian yang siap dijahit,” jelasnya. 

Namun demikian, ujar Rozita, dia telah membelanjakan hampir RM 1,200 – tidak termasuk keperluan asrama, bayaran buku, yuran sekolah dan yuran asrama.

“Kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah begitu memberi kesan kepada peningkatan perbelanjaan saya pada tahun ini berbanding dengan tahun sebelumnya,” luahnya

Seorang lagi suri rumahtangga, Rosmawati Mat, 43, memberitahu HarakahDaily, bahawa pada tahun ini beliau mempunyai tiga orang anak yang bersekolah. Seorang anaknya berada di sokolah menengah dan 2 orang lagi berada di sekolah rendah. 

Rosmawati Mat

“Jika ditanya kepada saya mengenai perbelanjaan yang kami keluarkan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak, pada tahun ini kami sangat terasa beban kenaikannya. 

“Setakat ini, perbelanjaan yang telah kami keluarkan untuk dua orang anak yang berada di sekolah rendah telah mencecah RM500. Perbelanjaan ini termasuk membeli buku-buku, alat tulis dan peralatan-peralatan sampingan lain yang diperlukan untuk memulakan sesi persekolahan nanti. 

“Dari segi pakaian dan kasut sekolah pula, buat masa ini kami belum lagi membelinya. Kami perlu mencari kedai yang betul-betul dapat memberikan diskaun ke atas pembelian pakaian dan kasut sekolah.  

“Bagi anak sulung yang berada di sekolah menengah pula, saya peruntukan kos perbelanjaan untuk memulakan sesi persekolahan ini mencecah RM500 termasuk membeli  buku-buku, alat tulis dan sebagainya,” kongsinya.  

Dia menganggarkan kos keseluruhan perbelanjaan menyediakan peralatan sekolah bagi tiga orang anak mencecah RM1,000. 

“Bagi saya yang kurang berkemampuan dari segi pendapatan bulanan, kos perbelanjaan ini sangat tinggi dan membebankan kepada kami untuk menyediakan keperluan persekolahan anak,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -