Siapa boleh selamatkan doktor kita?

- Advertisement -

LEBIH 70 peratus petugas sektor kesihatan nak berhenti kerja! Ya, peratus ini bukannya sangkaan tetapi hasil tinjauan sebuah portal berita kesihatan CodeBlue ke atas ribuan doktor, ahli farmasi, pembantu perubatan dan jururawat yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan seluruh negara.

Menginsafi kegawatan sistem kesihatan yang cukup rapuh akibat pandemik, kita perlu menilai sejauh mana negara bersedia untuk berhadapan dengan pandemik yang seterusnya, walhal ketika tempoh aman pun defisit kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan awam semakin melebar.

Mengapa Malaysia amat terdesak untuk melakukan reformasi sistem kesihatan sesegera mungkin?

Pertama, masyarakat kita sedang ditimpa ‘tsunami’ penyakit tidak berjangkit. Tanpa melihat kepada angka statistik, cuba perhatikan ahli keluarga dan saudara-mara kita sendiri, pasti ada yang menghidapi diabetes, hipertensi, kanser, sakit jantung atau kolesterol tinggi. 

Akibat enggan membuat saringan awal, penyakit-penyakit ini berpotensi menjadi pembunuh senyap dan memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Kedua, Malaysia sedang mengalami peningkatan populasi menua akibat kehendak majoriti pasangan untuk memiliki bilangan anak yang sedikit di samping jangka hayat penduduk yang kian bertambah.

Sejumlah 7.3 peratus penduduk negara kita berumur 65 tahun ke atas, bermakna semakin ramai warga emas yang memerlukan penjagaan kesihatan dan ekosistem bagi menyokong keperluan jangka masa panjang mereka.

Petunjuk kesihatan memberi gambaran bahawa kita belum bersedia untuk berhadapan dengan dua situasi disebutkan tadi. Malah sebilangan besar petugas kesihatan yang seolah-olah melakukan mogok dalam diam memburukkan keadaan. 

Beberapa faktor doktor ingin keluar daripada sistem kesihatan awam termasuklah gaji rendah, laluan kerjaya tidak jelas, kekurangan staf dan kemudahan tidak mencukupi.

Ada segelintir masyarakat memerli bahawa para doktor wajar bekerja lebih masa dan dibebani pesakit yang begitu ramai kerana kononnya sudah diberikan gaji tinggi sedangkan gaji yang mereka terima tidak setimpal. 

Rungutan dan permintaan para doktor cukup berasas kerana mereka bertarung untuk menyelamatkan nyawa manusia, bekerja hingga mencecah 24 jam sehari malah perlu bersedia untuk dipanggil pada hujung minggu dan hari cuti juga.

Terdapat perbezaan skala gaji dan elaun yang diterima sekiranya seseorang dilantik sebagai doktor kontrak (UD43) berbanding lantikan tetap (UD44) meskipun kedua-duanya memiliki beban kerja yang sama.

Sebagai perbandingan pula, doktor yang baru bergraduasi dan bekerja di bawah gred UD41 memperoleh gaji dan elaun sebanyak RM5,200, jauh berbeza dengan jururawat di Singapura yang bermula pada kadar RM8,300.

Begitu juga doktor ini bergelut dengan masa depan kerjaya mereka. Daripada keseluruhan graduan perubatan yang berkhidmat secara kontrak, kurang 40 peratus diserap ke jawatan tetap, selebihnya terpaksa mengintai peluang di perkhidmatan swasta. 

Mereka tidak dimaklumkan kriteria yang telus bagaimana untuk dilantik tetap, berteka-teki bila akan ada kekosongan. Mereka juga tidak didorong untuk melanjutkan pengajian subkepakaran kerana tiada elaun diberi.

Terdapat kes pesakit jantung meninggal dunia di Hospital Serdang kerana terpaksa menunggu lebih 30 jam untuk mendapatkan katil. Seorang pesakit pula telah ditikam oleh seorang pesakit psikiatri di Hospital Selayang yang tidak mampu menahan berang juga atas sebab yang sama, tempoh menunggu yang terlalu lama.

Keadaan ini menunjukkan hospital kerajaan berhadapan konflik kekurangan staf. Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila hampir 3,400 pegawai perubatan kontrak meletak jawatan sejak 2017 hingga 2022. 

Manakala melalui saringan kesihatan mental, seramai 2,558 daripada lebih 70,000 petugas kesihatan di pelbagai skim perkhidmatan mengalami gejala stres, keresahan (3,475) dan kemurungan (2,123). Emosi mereka terganggu untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Adapun, langkah yang serius telah ditunjukkan oleh Kementerian Kesihatan pada Ogos 2022 yang telah meluluskan lebih 4,000 permohonan ke jawatan tetap membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak. 

Penambahan jawatan tetap ini merupakan yang paling tinggi sejak dasar kontrak dimulakan pada 2016. Sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap juga akan ditawarkan setiap tahun kepada pegawai kontrak.

Selain segala beban dilambakkan kepada kerajaan, rakyat juga perlu bersedia untuk berbelanja lebih setiap kali ke hospital dan klinik kerajaan. Model pembiayaan sektor kesihatan awam yang tidak berubah sejak tahun 1982 perlu disemak bagi menampung kemudahan yang jarang diselenggara dan tidak mencukupi.

Kementerian Kesihatan turut boleh mempertimbangkan potensi penglibatan pihak swasta melalui kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP). Antara kaedah yang boleh diaplikasikan adalah penyumberluaran (outsourcing), tukar guna tanah (land swap) dan inisiatif pembiayaan swasta.

Sistem kesihatan semasa kurang memberi penekanan dalam penjagaan pencegahan dan lebih tertumpu kepada penjagaan kuratif. Lebih besar bahagian daripada peruntukan sepatutnya dilaburkan untuk program gaya hidup sihat, rutin saringan penyakit tidak berjangkit dan akses perkhidmatan yang saksama. 

Pindaan undang-undang yang berkait dengan kesihatan juga perlu disegerakan seperti Dasar Generasi Penamat (Generation End Game).

Belanjawan 2023  yang dibentangkan mestilah adil serta mengikut kepada aulawiyat keutamaan yang mesti didahulukan. Memberikan tumpuan utama kepada isu prasarana, fasiliti serta kebajikan doktor serta kumpulan sokongan yang lain.

YB DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Ahli Parlimen Kuala Langat
Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Sijangkang – HARAKAHDAILY 2/3/2023

Rujukan:

1. Petunjuk Kesihatan 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia

2. https://codeblue.galencentre.org/2023/01/30/poll-95-of-health-workers-say-malaysias-public-health-care-system-is-in-crisis-now/ 

- Advertisement -
- Advertisement -