
DALAM perbahasan Belanjawan 2023, saya ada menyentuh mengenai isu pegangan saham FELDA dalam sebuah syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantation (EHP). Pada tahun 2016, FELDA yang ketika itu tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, telah diberi pinjaman oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM2.3 bilion untuk membeli 37 peratus saham di dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations (EHP) daripada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Copra (RC).
Harga saham EHP sewaktu dibeli oleh anak syarikat milik penuh FELDA, FICP, pada bulan Oktober 2016 adalah IDR565 sesaham. Pada 21 Februari 2023, harganya cuma tinggal IDR66 sahaja. Secara keseluruhan, nilai pelaburan RM2.3 bilion itu cuma tinggal sekitar 10 peratus sahaja! Melabur RM2.3 bilion pada 2016 dan hari ini nilainya hanya RM220 juta sahaja.
Ketika isu pembelian ditimbulkan, Perdana Menteri ke-6, Dato’ Sri Najib, pada 9 April 2019 menyatakan bahawa pembelian saham ini disertakan dengan put option di mana menurut beliau, ‘put option ini kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semula wang kita yang kita bayar bersama dengan faedah 6 peratus setiap tahun’.
Mengikut perjanjian, FELDA, melalui FICP, boleh di atas budi bicara mutlak melaksanakan put option pada tarikh akhir tempoh option iaitu 11 Mei 2022. Maknanya kalau pada 11 Mei 2022, FELDA kata kami nak jual balik semua 37 peratus saham yang dibeli dan minta supaya pelaburan bernilai RM2.3 bilion dibayar balik bersama faedah 6 peratus, maka RCI dan RC wajib membayarnya semula.
Tapi, apabila FELDA melaksanakan put option pada 11 Mei 2022 dan RCI serta RC perlu memulangkan balik nilai pelaburan bersama faedah 6 peratus selewat-lewatnya 25 Mei 2022, syarikat tersebut tidak bersetuju!
FELDA kemudian memfailkan Notis Timbang Tara ke Singapore International Arbitration Centre pada 17 Januari 2023.
Kerajaan harus memberi penjelasan:
1. Berapakah baki hutang untuk pembelian saham EHP yang masih belum dibayar FELDA kepada GovCo, dengan perincian prinsipal dan faedah?
2. Berapakah hutang GovCo yang telah dibayar oleh FELDA dengan perincian prinsipal dan faedah?
3. Apakah kesan bayaran hutang ini kepada kewangan FELDA?
4. Apakah manfaat yang diraih oleh FELDA setakat ini hasil daripada pembelian saham EHP?
5. Apakah langkah FELDA untuk menyelesaikan legasi yang amat membebankan ini?
6. Sekiranya FELDA gagal dalam timbang tara, apakah kesan pelaburan ini kepada kebajikan peneroka?
7. Apakah telah ada tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam urusniaga ini?
YB DATUK DR RADZI JIDIN
Ahli Parlimen Putrajaya – HARAKAHDAILY 2/3/2023




















