
WASHINGTON: Twitter mengumumkan bahawa ia telah melancarkan dasar ‘Ucapan Keganasan’.
Dalam tweetnya pada har ini, Selasa (1 Mac), perkhidmatan rangkaian sosial dan mikroblog yang dimiliki Twitter, Inc. itu berkata ia telah membuat beberapa perubahan pada dasarnya mengenai kandungan dan bahasa yang bersifat ‘ganas’, lapor Anadolu Agency.
“Hari ini (1 Mac), kami secara rasmi melancarkan dasar Ucapan Keganasan kami, yang melarang ancaman ganas, keinginan untuk mencedera, mengagungkan keganasan dan hasutan keganasan,” katanya.
Syarikat itu berkata Twitter ialah tempat di mana orang ramai boleh meluahkan perasaan mereka, belajar tentang apa yang berlaku dan membahaskan isu global.
“Walau bagaimanapun, perbualan yang sihat tidak dapat berkembang apabila ucapan ganas digunakan untuk menyampaikan mesej.
“Akibatnya, kami mempunyai dasar toleransi sifar terhadap ucapan ganas untuk memastikan keselamatan pengguna kami dan mencegah tindakan ganas dinormalisasi,” katanya dalam dasar beritanya.
Menurutnya, Twitter mempunyai pendekatan sifar toleransi terhadap Ucapan Keganasan, dan dalam kebanyakan kes, ia akan menggantung mana-mana akaun yang melanggar dasar ini.
“Untuk pelanggaran dasar yang kurang teruk, kami mungkin memerlukan anda memadamkan konten sebelum anda boleh mengakses akaun anda semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2023




















