
HATAY: Türkiye meningkatkan perancangan untuk menempatkan mangsa tiga gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah sempadannya dengan Syria dalam tempoh dua minggu, apabila jumlah kematian di dua negara itu mencecah 50,000.
Angka kematian akibat gempa bumi besar yang melanda sebahagian Türkiye dan Syria pada 6 Feb itu terus meningkat apabila lebih banyak mayat dikeluarkan dari runtuhan bangunan yang dirobohkan, lapor TRT World.
Gempa bumi dahsyat ketiga berukuran 6.4 magnitud pada skala Richter yang melanda wilayah Hatay pada 21 Feb lalu telah merosakkan atau merobohkan lebih banyak bangunan, menambahkan lagi kemusnahan akibat dua gempa kuat 6 Feb.
Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, angka kematian akibat bencana itu di Türkiye kini mencecah 43,556.
Gempa bumi berkembar 6 Feb itu telah menyebabkan lebih 5,800 orang terkorban di Syria, yang secara keseluruhan, kematian dari kedua-dua negara telah melebihi 49,300.
Dalam pada itu Menteri kehakiman, Bekir Bozdag dalam kenyataannya kepada CNN Turk berkata, lebih 170 orang ditahan dalam siasatan bangunan runtuh di Turkiye.
“Seramai 171 orang telah ditangkap dalam siasatan ke atas bangunan yang musnah di selatan Türkiye selepas gempa bumi pada 6 Feb lalu,” katanya.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai gempa bumi, tindakan undang-undang telah diambil terhadap 583 suspek setakat ini,” ujarnya sambil menambah bahawa 171 daripada mereka telah ditangkap dan keputusan kawalan kehakiman telah diambil untuk 197 yang lain.
“Daripada 171 yang ditahan, 78 adalah kontraktor, 64 penyelia bangunan, 11 pemilik bangunan,” jelasnya.
Bozdag berkata mereka yang bertanggungjawab, termasuk kontraktor bangunan, pemilik, penyelia, pekerja dan pekerja utama dikenal pasti secara berasingan.
“Sesiapa yang mempunyai tanggungjawab terhadap bangunan yang runtuh, tanpa mengira tugas dan jawatan mereka – kesemuanya akan diadili dalam pertimbangan keadilan mengikut tanggungjawab mereka, dan tindakan akan diambil seperti yang diperintahkan oleh undang-undang kita, tanpa teragak-agak,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2023




















