
DHAKA, Bangladesh: Pelarian Rohingya yang dilanda kemiskinan di kem sementara di selatan Bangladesh terbukti berhati mulia apabila mereka mengumpul wang bagi membeli 700 selimut dan 200 jaket untuk didermakan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.
Ketua masyarakat Rohingya, Sahat Zia Hero memberitahu Anadolu Agency, Türkiye telah menjadi salah satu penyedia bantuan utama sejak awal krisis yang dihadap mereka.
“Bagaimana kami boleh duduk diam sahaja dalam menghadapi musibah besar yang melibatkan rakan baik kami (Turkiye)?”
“Terimalah sumbangan daripada kami yang tidak seberapa ini, tetapi ia lebih kepada ‘hadiah kasih sayang’ kami buat rakyat Turkiye yang terjejas angkara dilanda dua gempa bumi kuat itu,” katanya dalam nada penuh emosi.
“Kami adalah pelarian di sini dan kebanyakannya bergantung kepada derma dan bantuan daripada orang lain untuk terus hidup.
“Namun, hadiah ini membawa bersama kasih sayang dan solidariti yang tidak terhad kepada saudara (Islam) kami di Turkiye,” katanya sambil menjelaskan bahawa ia adalah yang terbaik yang boleh mereka lakukan untuk rakyat Turkiye memandangkan sumber kewangan mereka yang sangat terhad.
Pada Selasa (14 Feb) lalu,, wakil Rohingya telah menyampaikan sumbangan itu ke pejabat Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) di Dhaka.
Penyelaras TIKA Bangladesh, Sevki Mert Baris berkata pihaknya sangat gembira melihat sokongan sepenuh hati rakyat Bangladesh terhadap kami semasa krisis negara kami, dan amat berbesar hati juga melihat sumbangan daripada pelarian Rohingya.
Beliau menambah bahawa sumbangan pelarian Rohingya membawa rasa cinta dan solidariti yang mendalam rakyat Türkiye yang terjejas.
Sementara Pengasas bersama Gabungan Rohingya Bebas, Nay San Lwin memberitahu Anadolu Agency melalui perbualan telefon bahawa walaupun sumbangan pelarian Rohingya di Bangladesh kepada rakyat Turkiye tidak banyak, namun mereka melakukannya kerana berkongsi penderitaan akibat bencana gempa bumi tersebut.
“Apabila kami ditindas sepenuhnya berikutan keganasan yang ditaja kerajaan (Myanmar) terhadap kami pada tahun 2012, Türkiye adalah antara negara pertama yang menjawab rayuan kami untuk mendapatkan bantuan.
“Kami tidak akan melupakan jasa baik mereka (Turkiye),” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2023




















