Ketidakhadiran anggota Kabinet semasa hujah Ketua Pembangkang

- Advertisement -

PADA asalnya saya tidak berminat untuk membangkit isu ketidakhadiran Ahli Parlimen bahkan menteri di dalam persidangan, kerana ruang dibenarkan untuk mana-mana ahli boleh keluar masuk dewan dengan korum seramai 26 orang ahli perlu berada di dalam dewan pada setiap masa, mungkin mereka mempunyai hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

Pada sesi petang tadi, ruang yang menempatkan kerusi Menteri dan Timbalan Menteri lengang dan kosong kecuali beberapa orang Menteri dan Timbalan sahaja yang ada. 

Sedangkan sekitar pukul 3:45 petang perbahasan Ketua Pembangkang yang sepatutnya dihadiri oleh anggota Kabinet untuk mendengar hujah Ketua Pembangkang.

Tetapi memandangkan ada yang cuba ‘panah line‘ dengan membuat posting kononnya pertama kali sejarah berlaku pada sesi sebelah pagi khususnya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang bermula hari ini untuk setiap hari Selasa akan dijawab sendiri oleh Perdana Menteri atau dengan nama baru Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), walaupun dalam Aturan Urusan Mesyuarat masih lagi menggunakan MQT iaitu pada jam 10 sehingga 10:30 pagi, bahawa Ketua Pembangkang, Pagoh dan Marang tiada dalam dewan.

Sedangkan Ketua Pembangkang, Pagoh dan Marang memasuki dewan beberapa ketika di awal sesi pagi kerana Larut selaku Ketua Pembangkang sendiri mempunyai soalan lisan di nombor dua yang bermula pada jam 10:30 pagi.

Bagi saya, apa yang berlaku di sebelah petang juga adalah kali pertama kali dalam sejarah, kerana waktu Ketua Pembangkang berucap, seolah-olah tiada nilai langsung di pihak kerajaan berdasarkan kekosongan kerusi blok anggota Kabinet.

Oleh itu, berlaku adillah dalam menilai sesuatu perkara.

YB ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -