
KUALA LUMPUR: Pelantikan anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti mandat yang telah diberikan oleh jemaah menteri dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) ketika sesi pertanyaan menteri di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Hamzah dalam soalannya kepada Rafizi bertanya: “Siapa ahli MTEN kerana kita perlu dengar siapa mereka yang telah pun dilantik?
“Apakah jawatankuasa dalam MTEN sama dengan jawatnkuasa yang akan dilantik dalam kementerian kewangan kerana ia mempunyai dua jawatankuasa yang mungkin akan bertembung?”
Menurut Rafizi, MTEN berperanan menjadi peneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi negara secara menyeluruh, meliputi dasar dan strategi ekonomi semasa terutamanya dalam mendepani cabaran ekonomi mutakhir.
“MTEN akan bertindak sebagai majlis penasihat ekonomi tertinggi kepada kerajaan dengan fokus kepada menyelaras keputusan-keputusan dasar merentas kementerian atau agensi untuk menyelesaikan isu-isu struktural bersabit ekonomi mengikut keutamaan kerajaan.
“Ia juga akan memain peranan penting dalam menilai dan membuat keputusan-keputusan dasar, perancangan dan pelaksanaan jangka masa pendek, sederhana dan panjang mengenai cadangan untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal negara, menambah hasil negara dan meningkatkan daya tahan ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023




















