Berlaku adil terhadap pembangkang: Kerajaan lebih stabil

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat akan lebih lebih stabil jika ia berlaku adil terhadap pembangkang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Temerloh, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, pembangkang juga perlu diberikan hak dalam soal bajet untuk dikongsikan dengan rakyat kerana bajet yang diberikan bukan untuk kepentingan pembangkang tetapi untuk kebaikan dan keperluan rakyat. 

“Oleh itu, kita mahu kerajaan PH-BN bersifat adil dan memberikan hak yang sama juga kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN)  kerana mereka dipilih oleh rakyat yang hendaklah diiktiraf. 

“Inilah tindakan politik yang lebih terbuka, bukannya dihalang dengan pelbagai cara dan hendaklah diberi ruang untuk menggunakan fasiliti yang perlu dimanfaatkan kepada rakyat,” katanya kepada HarakahDaily.

Salamiah berkata demikian ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam di Parlimen yang  menyeru agar semua pihak mengenepikan agenda politik sempit.

Menurut beliau, kerajaan PH-BN kini lebih dilihat yang memerintah dalam bertindak melunaskan  dengan politik dendam.

“Kita lihat banyak tindakan mereka (kerajaan) mempersoalkan tentang pilihan raya, membuat sekatan akaun Bersatu, membuat petisyen dan sebagainya.

“Pelbagai usaha yang mereka lakukan untuk menghalang perkembangan dan menimbulkan keraguan terhadap integriti yang ada pada PN yang kita laungkan PN BEST, bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’,” katanya.

Tambah beliau juga,  kerajaan PH-BN juga akan lebih stabil jika berlaku adil terhadap pembangkang.

“Pembangkang juga perlu diberikan hak dalam soal bajet untuk diturunkan kepada rakyat kerana bajet yang diberikan bukan untuk kepentingan pembangkang tetapi untuk kebaikan dan keperluan rakyat. 

Sehubungan itu, beliau mahukan agar konsep kerajaan madani lebih  bersifat adil dan dasar berteraskan akidah.

“Sudah tentu kerajaan PH-BN sedia menerima pembangkang sebagai rakan strategik yang berperanan sebagai semak dan imbang.

“Semua ini adalah untuk kebaikan kerajaan. Kalau tidak, tidak ada siapa yang tegur dan sudah tentulah kesalahan-kesalahan akan diulang.

“Oleh itu, peranan pembangkang memainkan peranannya, kerajaan juga memainkan peranannya. Masing-masing berperanan untuk kebaikan negara kita bersama,” katanya. 

Salamiah berkata, kemelut politik tidak stabil berlaku semasa peristiwa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang ketujuh.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu  juga turut menyentuh tentang krisis politik boleh dielakkan sekiranya semua ahli-ahli politik dan wakil-wakilrakyat bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Kita jangan lupa bahawa Perdana Menteri ketujuh adalah tampuk sebuah kerajaan (PH) pada ketika itu dan ketika itu, bermulalah episod politik yang tidak stabil yang dimulai dengan kerajaan sendiri.

“Ia bukan dimulai dengan pembangkang. Bagaimana ketika itu, kita lihat yang dilantik selepas Tun Dr Mahathir iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudian Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Semua ini, kita lihat bermula dengan tindakan ‘kerajaan’ yang meletakkan jawatan kerana dengan permasalahan dalaman itu sendiri pada ketika itu,” tegas  beliau.

Justeru, Salamiah menyeru agar kerajaan baharu tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Kerajaan hendaklah memikirkan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat bukan semata-mata memikirkan kepentingan politik dan parti masing-masing. 

“Ini kerana rakyat sedang menghadapi masalah sosial dan ekonomi dan berharap agar penyelesaian dan keprihatinan oleh kerajaan baharu.

“Saya menyeru agar kerajaan bersifat terbuka dan mengakui tentang peranan pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -