Lapan tahun malam memanjang?

- Advertisement -

SEMALAM 12 Februari 2023. Genap lapan (8) tahun Murabbi Ummah, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah pergi meninggalkan kita. Begitu ramai orang yang terkesan dengan kehadiran beliau sebagai guru, ulamak, ahli politik, pemimpin dan murabbi. Beliau bukan hanya pemimpin PAS, tetapi beliau adalah pemimpin bagi semua rakyat Malaysia. Bukan hanya Tok Guru bagi orang Kelantan, tetapi beliau adalah guru bagi semua orang Islam di negara ini. Beliau bukan sekadar Menteri Besar Kelantan, tetapi beliau adalah pemimpin besar bagi rakyat Malaysia.

Ahli-ahli PAS berbesar hati memiliki Mursyidul Am seperti beliau. Para pemimpin politik, termasuk pemimpin DAP, PKR dan Umno menghormati ketokohannya. Bahkan, para pemimpin PAN yang telah lari meninggalkan PAS pun, tetap menjual namanya. Rakyat Kelantan, tanpa mengira parti dan fahaman politik mengira Tok Guru Nik Aziz adalah pemimpin terbesar mereka. Tok Guru diakui oleh sesiapa sahaja orang Kelantan, sebagai idola mereka. Mereka bencikan PAS, tetapi mereka menghargai Tok Guru.

Tok Guru… itulah sapaan seluruh rakyat Kelantan untuknya. Walhal Kelantan memiliki puluhan tok guru di pondok-pondok, sejak berzaman. Tetapi apabila disebut sahaja ‘Tok Guru’, yang terlintas di hati rakyat Kelantan ialah Tok Guru Nik Aziz. Seolah-olah ada seorang sahaja tok guru di Kelantan. Bahkan, bagi orang luar Kelantan, bila disebut sahaja ‘negeri Tok Guru’ atau ‘rakyat Tok Guru’, yang terbayang di benak mereka ialah Kelantan. Begitulah Tok Guru Nik Aziz menjadi pemimpin legenda bagi negeri Kelantan. ‘Manusia Gunung’, kata Prof Dato, Mohamad Abu Bakar.

Kini, sudah lapan tahun Tok Guru pergi. Lantaran kuatnya pengaruh beliau di hati, terasa seolah-olah baru semalam beliau Allah ambil kembali. Rindu dengan asuhan dan didikannya, terkenang setiap butir mutiara yang terbit di lidahnya. Tunjuk ajarnya, kelembutan sentuhan hatinya, keikhlasan didikannya, ketelusan pimpinannya, keprihatinan sikapnya. Ahh… segalanya! Dia guru, dia pemimpin, dia murabbi. Semua orang akur akan hal itu. Perkataannya mendidik, perbuatannya mendidik, tingkah lakunya mendidik, bimbingannya mendidik, pimpinannya mendidik!

Lapan tahun berlalu. Malam dirasakan memanjang tanpa murabbi di sisi. Tapi semua kita pasrah. Setiap yang datang pasti akan pergi. Setiap yang bertemu akan terpisah. Setiap yang hidup pasti menghadapi mati.

Teringat saya kepada saat peristiwa perginya Sang Rasul S.A.W. Berapa banyak orang yang terkesan, sehingga Saiyidina Umar sendiri seperti tidak dapat menerimanya. Ada yang tiba-tiba enggan membayar zakat, ada pula yang murtad. Bahkan ada juga yang mengaku menjadi Nabi dan tidak kurang pula yang mengikuti mereka. Begitulah kecamuknya keadaan manusia ketika mereka kehilangan Sang Rasul S.A.W yang mulia itu. Tetapi ada sebahagian daripada mereka yang dipimpin Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq bertegas mengatakan, “Kalau kamu menyembah Muhammad, Muhammad telah mati. Kalau kamu menyembah Allah, Allah kekal abadi!”

Rupanya sangat rindu dan cintanya mereka Sang Rasul S.A.W, ramai yang menjadi keliru. Ada yang menyangka bahawa mereka selama ini mengikuti Muhammad. Jika Muhammad telah tiada, tidak berguna lagi membayar zakat. Tidak perlu lagi mematuhi syariat. Bahkan boleh sahaja mengikuti sesiapa yang membawa ajaran atau fahaman, walaupun nyata sekali ia adalah sesat.

Kenapa demikian? Kerana manusia mencintai batang tubuh Muhammad, tetapi tidak mencintai aqidah yang diajarkan olehnya. Ada orang kagum dengan akhlak Muhammad, tetapi tidak tidak kasih kepada manhaj hidup yang dibawanya. Ada orang mengikuti dia sebagai Muhammad, bukan sebagai seorang Rasul yang diangkat oleh Allah. Ada orang yang mendengar lemah lembut butir bicara Muhammad, tetapi tidak memahaminya sebagai wahyu dari Ilahi. Lantaran terlupa mereka kepada pesan Sang Nabi S.A.W itu, yang bermaksud “Bahawa aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Selagi kamu mengikutinya, tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Kitabullah dan Sunnah ku!”

Saya tidak bermaksud menyamakan Tok Guru Nik Aziz dengan Nabi S.A.W yang kita cinta itu. Tetapi Tok Guru Nik Aziz diberikan kekuatan dan kemuliaan oleh Allah kerana teguh dan istiqamahnya beliau dengan al-Quran dan Sunnah yang Sang Nabi S.A.W tinggalkan itu. Tutur kata dan mauizahnya tidak lepas dari menitipkan apa yang disabdakan oleh Sang Nabi S.A.W itu. Lidahnya sentiasa basah dengan tazkirah berbasis wahyu. Beliau sendiri beramal dan berjuang di atas landasan wahyu itu. Keyakinan beliau terhadap agama wahyu itu luar biasa sekali, sehingga tiada takut dia kepada setiap caci maki dan cercaan orang-orang yang mencerca. 

Tapi malang… sejarah berulang! Mati Sang Murabbi dipanggil menghadap Ilahi. Pencinta, pentaksub, pendukung dan pengikut… mula berpecah dan beralih arah. Kita melihat sejak awal lagi… mereka mula membawa hala tuju masing-masing. Sekurang-kurangnya terpecah tiga mereka…

I. Golongan yang menyatakan kecintaan dan ketaksuban mendalam mereka kepada Tok Guru. Hujah dan komentar mereka bersandar kepada Tok Guru… tetapi mereka menentang orang-orang meneruskan agenda tok guru itu. Nah! Lihat bagaimana anak-anak buah mendiang Karpal Singh menghujah di mana-mana menjaja nama Tok Guru;

II. Golongan yang memuja Tok Guru sebagai alat politik. Mereka mendakwa mewarisi perjuangan Tok Guru, mereka menjual nama Tok Guru, mereka mengusung zuriat Tok Guru… tetapi mereka telah beralih dari jamaah yang dipimpin dan dibina oleh Tok Guru. Bahkan, mereka membenci dan memfitnah orang-orang yang istiqamah di atas landasan yang dibentuk oleh Tok Guru; dan

III. Golongan yang meletakkan Tok Guru adalah murabbi yang menunjukkan jalan menuju kepada keredhaan Ilahi. Mereka faham dari mana sumber agama yang diajarkan Tok Guru. Mereka tidak mentaksubi batang tubuh Tok Guru, tetapi mereka setia dengan manhaj yang dibawa oleh Tok Guru. Mereka istiqamah dengan al-Quran dan Sunnah seperti mana istiqamahnya Tok Guru.

>Bagi golongan ketiga, kehilangan Tok Guru memang mencederakan hati dan jiwa mereka, Lantaran kasihnya kepada seorang murabbi. Tetapi mereka segera berkata, ‘Tok Guru pasti mati, tetapi Allah hidup dan kekal abadi. Kami tidak menyembah Tok Guru, tetapi kami berpegang teguh dengan manhajnya yang berasaskan wahyu. Selagi jamaah ini terus berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, terus menjadikan Islam sebagai dasarnya dan terus dipimpin oleh para ulamak yang ikhlas, kami tetap bersama perjuangan yang Tok Guru tinggalkan!’

Walaupun lapan tahun berlaku, bagi orang yang istiqamah di atas jalan yang benar, malam mereka tidak memanjang. Sentiasa ada sinar dan masa depan. Mereka bergerak dengan yakin sebagai mata rantai perjuangan. Mereka kekal mendukung jamaah sebagai mana yang dipesan oleh Sang Murabbi itu.

Tetapi, bagi mereka yang mentaksubi batang tubuh Tok Guru atau kagum dengan peribadi Tok Guru, tanpa memahami manhaj perjuangannya, kematian ini adalah petaka bagi mereka. Mereka kelam. Mereka terbungkam. Mereka kesesatan. Mereka telah mengalami kekeliruan arah perjuangan. Bagi mereka, lapan tahun malam memanjang… tanpa jalan pulang.

Tenanglah murabbiku di sana… kami tetap meneruskan manhaj perjuangan yang engkau titipkan dari Sang Nabi S.A.W. Darah kami, tulang kami, nyawa kami… tetap untuk Islam!

Terima kasih juga buat Kerajaan Kelantan kerana memberi peluang kepada saya berkhidmat di Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) di antara Januari 2016 hingga Jun 2018.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -