
ADIYAMAN: Di bahagian utara Cyprus yang diduduki Turki, berita mengenai 24 pelajar sekolah menengah rendah diselamatkan dari sebuah hotel yang runtuh di bandar tenggara Adıyaman di Turkiye telah disambut dengan penuh lega.
Kumpulan pelajar berkenaan yang merupakan anggota pasukan bola tampar sekolah berkenaan berada di bandar itu untuk bertanding dalam acara sukan apabila hotel lapan tingkat yang dihuni mereka – Isias Hotel telah runtuh akibat dua gempa bumi yang melanda Turkiye semalaman pada Isnin (6 Feb) itu, lapor The Guardian.
Laporan itu menambah bahawa, bagaimanapun pada hari ini, Selasa (7 Feb) dilaporkan bahawa warga Cyprus Turkiye muda yang dikhuatiri hilang berjaya diselamatkan dan kembali ke Cyprus.
Beberapa guru di sekolah milik persendirian itu dilaporkan telah tinggal di Turkiye untuk membantu usaha mencari dan menyelamat kesemua pelajar berkenaan.

Gempa bumi kuat pada Isnin kedua-duanya dirasai di Cyprus yang berpecah dua akibat perang, yang telah dibahagikan antara orang Yunani di selatan dan Turkiye di utara sejak tahun 1974.
Sepertimana di Greece, pegawai kerajaan di selatan yang diiktiraf antarabangsa telah menawarkan untuk membantu dalam usaha menyelamat mangga gempa bumi.
Terdahulu, ketika menyuarakan kebimbangannya terhadap pelajar Cyprus Turkiye berkenaan, parti sayap kiri Greek Cyprus, Akel dalam tweetnya berkata: “Kami menyatakan harapan dan berharap kami akan mendapat berita baik tentang nasib mereka 24 pelajar berkenaan tidak lama lagi.
“Kami berharap mereka tabah dan menyatakan perasaan solidariti kami terhadap keluarga mereka dan masyarakat Cyprus Turki secara amnya.” – HARAKAHDAILY 7/2/2023




















