PM Thailand sasar lebih 30 juta pelancong asing tahun ini

Seni bina bangunan Thailand menarik hati pelancong asing.
- Advertisement -

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand yakin negara itu akan menerima lebih 30 juta pelancong asing tahun ini apabila sektor pelancongan yang penting kepada ekonomi negara bertambah rancak.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, mengarahkan agensi berkaitan untuk memudahkan kedatangan pelancong dan memastikan keselamatan mereka, kata jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, dalam satu taklimat, hari ini.

Katanya, pada mulanya kerajaan menjangkakan lebih 20 juta pelancong asing tahun ini dan kemudian jumlah itu meningkat kepada 28 juta.

“Terbaharu, Perdana Menteri yakin jumlah pelancong akan melebihi 30 juta orang,” kata Anucha.

Unjuran terbaru itu berikutan pembukaan semula sempadan China dan kepulangan pelancong China ke negara gajah putih itu.

Thailand kini menjangkakan sekurang-kurangnya antara 7 hingga 8 juta pengunjung China tahun ini, meningkat daripada jangkaan sebelum itu, sekurang-kurangnya 5 juta, kata Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Yuthasak Supasorn.

“Sebelum ini, kami tidak menyangka China juga membenarkan lawatan berkumpulan…kini kami melihat sekurang-kurangnya 7 hingga 8 juta orang,” katanya.

Jangkaan baharu itu ialah lebih separuh daripada 11 juta pelawat China yang direkodkan pada pra-pandemik 2019.

Setakat 2 Feb tahun ini, Thailand menerima 99,429 pelancong China, kata Yuthasak.

Keseluruhan ketibaan pelancong asing adalah sekitar 2.1 juta orang pada Januari, tambahnya.

Pada 2022, Thailand mengatasi sasaran pelancongannya dengan 11.15 juta pelawat asing, peningkatan daripada hanya kira-kira 428,000 pada tahun sebelumnya apabila sekatan perjalanan yang berkaitan dengan pandemik dilaksanakan.

Pra-pandemik 2019 menyaksikan rekod hampir 40 juta pelancong asing, yang membelanjakan 1.91 trilion Baht (AS$56.78 bilion). – REUTERS

- Advertisement -