
MUAR: Sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib tidak melepaskan peluang meraikan masyarakat Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Menurut ahli PAS yang menang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL di DUN itu, suasana Tahun Baru Cina kali ini wajar disambut dalam keadaan harmoni, berkasih sayang serta sentiasa saling tolong-menolong sesama masyarakat.

“Maka, jadikanlah suasana Tahun Baru Cina dalam keadaan harmoni, berkasih sayang dan sentiasa bertolongan sesama rakan taulan dan jiran tetangga.
“Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban masyarakat kaum Tionghoa di Maharani dalam persediaan menyambut perayaan beberapa hari lagi,” katanya pada Majlis Sumbangan Tahun Baru Cina, di Pejabat Bersatu Muar, Pekan Parit Bakar, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Naib Yang Dipertua PAS Muar; Dr Mohammad Taslim; Pemangku Bersatu Bahagian Muar, Basut Nin; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Aman Parit Bakar, Salleh Al Haj serta jawatan kuasa PAS dan Bersatu Muar.

Sementara itu, wakil Ketua Pemandu Teksi Muar, Tee Kim Bock berkata pihaknya gembira atas keprihatinan Abdul Aziz yang sudi memberikan sumbangan kepada masyarakat Cina Tionghua tanpa mengira bangsa dan agama.
Selain itu, penerima sumbangan, Neo Yee Loon pula berharap agar perkara yang baik ini akan berterusan untuk semua.
Penerima sumbangan menerima hamper berisi makanan ringan, angpau serta makanan dan minuman. – HARAKAHDAILY 16/1/2023




















