
MAKASSAR: Dua orang maut apabila pekerja bertempur di loji peleburan nikel yang dikendalikan oleh unit Industri Nikel Jiangsu Delong China di pulau Sulawesi, Indonesia.
Jurucakap polis Sulawesi Tengah, Didik Supranoto pada Isnin (16 Jan) berkata, seorang pekerja masing-masing warga Indonesia dan China terkorban selepas pertempuran tercetus berikutan bantahan yang dilakukan kumpulan buruh di kilang pelebur PT Gunbuster Nickel Industry (GNI), lapor Reuters.
“Dalam rusuhan yang berlaku susulan pertempuran tersebut, beberapa kenderaan syarikat itu dibakar dan kira-kira 100 bilik di asrama pekerja rosak,” kata Didik sambil menambah 71 orang telah ditahan.
“Operasi di GNI kini digantung,” tambah Didik, namun tidak menyatakan tarikh operasi kilang itu akan kembali aktif.
GNI dalam satu kenyataan berkata, syarikat dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Syarikat bersama pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan telah segera melancarkan siasatan mendalam dan menyeluruh terhadap insiden yang mendatangkan kemudaratan kepada semua pihak, baik kerugian material mahupun bukan material, malah kematian,” ujar kenyaraan itu.
Media tempatan melaporkan penunjuk perasaan telah menuntut ciri keselamatan dan kadar bayaran gaji yang lebih baik.
GNI melancaran operasinya bermula pada akhir tahun 2021 dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.8 juta tan dan jumlah pelaburan dianggarkan AS$2.7 bilion.
Protes ganas telah berlaku secara sporadis di wilayah Sulawesi yang kaya dengan mineral, yang menyaksikan ledakan pelaburan baru-baru ini dalam nikel yang digunakan dalam bateri kenderaan elektrik. – HARAKAHDAILY 16/1/2023




















