
SINGAPURA: Syarikat gergasi perabot tersohor Sweden, IKEA telah mengarahkan penarikan balik cermin LETTAN dari pasaran Singapura susulan ia berisiko memecahkan kelengkapan dinding.
IKEA dalam satu kenyataan pada Khamis (12 Jan) berkata, arahan itu melibatkan cermin LETTAN dengan cap tarikh sebelum dan termasuk 2105 iaitu menandakan tahun 2021, minggu kelima.
Produk berkenaan mempunyai empat saiz dan kesemuanya terjejas oleh langkah tarik balik itu, lapor CNA.
“Tiada sebarang insiden dilaporkan di Singapura setakat ini,” tambah kenyataan tersebut.
IKEA dalam kenyataannya itu juga berkata, beberapa kelengkapan yang melekatkan cermin LETTAN pada dinding didapati sudah pecah, lalu menyebabkan cermin itu jatuh tanpa disangka.
Sehubungan itu, syarikat tersebut meminta pemilik produk yang terjejas agar berhenti menggunakannya dan memesan kelengkapan dinding gantian secara percuma.
Setakat jam 4.30 petang Khamis (12 Jan), produk itu masih lagi tersedia untuk pembelian di laman web IKEA Singapura.
“Pelanggan boleh melayari laman web IKEA atau menghubungi syarikat itu untuk memesan bilangan penggantian yang diperlukan dengan nombor item 139298/1.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan disebabkan oleh tindakan untuk menarik balik produk itu,” ujar kenyataan IKEA. – HARAKAHDAILY 12/1/2023




















