Usul undi percaya sesuai sebelum lantik PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan tidak perlu lagi undi percaya terhadap Perdana Menteri kerana pelantikannya telah dibuat Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Dato’ Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, baginda sudah mengesahkan pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

“Jadi, tidak perlu lagi kepada usul undi percaya. Mengapa perlu dibawa lagi undi percaya. Kami tidak mahu dianggap sebagai menderhaka kepada baginda.

“Lebih baik tarik balik sahaja usul tersebut, atau diundi dalam kalangan penyokong kerajaan sahaja,” katanya ketika membahas usul tersebut pada sidang Dewan Rakyat, di sini, petang ini.

Terdahulu usul undi percaya dibawa Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof.

Sebelum itu Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, usul undi percaya dianggap tidak perlu dan bersifat akademik.

Ini kerana kata beliau, Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Adalah lebih munasabah undian dilakukan sebelum seseorang Perdana Menteri dilantik,” katanya ketika membahas usul sama. 

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS mendedahkan bahawa PN ditawarkan jawatan kabinet dan perbelanjaan pilihan raya dibayar jika mereka menyertai blok kerajaan. 

Namun, katanya tawaran berkenaan ditolak kerana mengambil kira mandat lebih empat juta rakyat kepada PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. 

Usul tersebut kemudian dilulus oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Johari Abdul dengan sokongan suara tanpa undi belah bahagi. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

- Advertisement -