
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan PH-BN menandatangani perjanjian persefahaman bagi menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata bahawa tindakan melaksanakan MoU dengan memaksa setiap wakil rakyat blok yang menyokong kerajaan PH-BN mengundi sokong Anwar dianggap sebagai bertentangan hak kebebasan bersuara dan berpersatuan.
Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai menyekat dan merosakkan demokrasi dan kebebasan parlimen.
“Langkah itu bertentangan dengan hak-hak setiap individu hendak bercakap,” katanya ketika membahas usul undi percaya kepada perdana menteri pada sidang parlimen hari ini.
Terdahulu usul tersebut dibentang Timbalan Perdana Menter,i Dato’ Seri Fadillah Yusof.
Baru-baru ini, parti-parti blok PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani perjanjian bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi.
Antara kandungan perjanjian itu kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan PH-BN menyokong perdana menteri dalam usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.
Hamzah berkata bahawa peraturan tersebut jelas bercanggah dengan perlembagaan.
Beliau yang juga ahli parlimen Larut turut meminta perdana menteri mengambil tindakan terhadap media asing yang cuba mengungkit semula isu liwat.
“Tindakan tegas perlu diambil kepada media terbabit kerana memberi gambaran tidak baik terhadap perdana menteri,” ujarnya.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut menyokong hujah Hamzah dengan menyebut MoU persefahaman bertentangan dengan Akta Kontrak dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Malah katanya, Majlis Peguam Malaysia juga menyifatkan MoU tersebut sebagai bertentangan dengan pelembagaan. – HARAKAHDAILY 19/12/2022




















