
KOTA BHARU: Hujan lebat yang berterusan di Kelantan menyebabkan jumlah mangsa banjir dicatat paling ramai setakat ini yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) daripada lima negeri yang dilanda banjir.
Sehingga jam 10.30 pagi tadi seramai 11,812 mangsa banjir daripada 3,409 keluarga dipindahkan ke PPS di beberapa jajahan ekoran hujan lebat sejak Sabtu lepas.
Paling ramai mangsa banjir adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh Rantau Panjang (712 orang), SK Lati, Pasir Mas (645), SK Bedal (600), SK Gual Tinggi, Rantau Panjang (559 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Barol Pial Pasir Mas (557).
Selain itu SK Gual Periok (510), Melor (444), SK Kamil 3 Pasir Puteh (408) dan SK Kiambang (287).

Sementara paras air sungai sehingga jam 8 pagi tadi, Sungai Kelantan di Tangga Krai (24.78 meter – melepasi paras amaran) dan Sungai Lebir di Tualang (38.47 meter – melepasi paras bahaya).
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, hujan yang turun di Kelantan diramalkan akan berterusan sehingga Rabu (21 Dis) ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah berharap penduduk yang tinggal di kawasan rendah berpindah segera sekiranya diarah berbuat demikian.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood merakam penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Tanah Merah, Jabatan Amal Malaysia dan Armada Bersatu yang menyediakan makan malam kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di SK Sri Kelewek dan SMK Tanah Merah 1.
“Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan makanan, anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang menjaga keselamatan di PPS,” katanya.
ADUN Selising, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penduduk yang berpindah ke PPS harap bersabar dan menjaga etika ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, penghuni Muslim di PPS juga hendaklah menjaga aurat dan menunaikan solat di ruang yang disediakan.
“Bagi penduduk yang terkandas akibat banjir hendaklah berpindah segera bagi mengelakkan kesukaran apabila paras air meningkat.
“Mereka yang berdepan dengan kesukaran untuk berpindah hendaklah memaklumkan segera kepada pihak berkuasa atau penghulu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/12/2022




















