
KOTA BHARU: Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini, tetap meluangkan untuk cakna dan prihatin dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, banyak tempat di Kelantan sekarang dilanda banjir akibat hujan lebat sejak Sabtu (17 Dis) lepas.
Menurut beliau, 14 ahli parlimen dari Kelantan menghadiri majlis angkat sumpah pada hari ini sebagai anggota Dewan Rakyat dan sidang parlimen yang berlangsung sehingga esok (20 Dis).
“Biarpun berlaku banjir di Kelantan namun tugas membantu mangsa-mangsa banjir dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penghulu dan petugas Pusat Khidmat yang turun membantu mangsa banjir.
“Peranan itu juga dilaksanakan anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Pejabat Menteri Besar, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya di sini.
Mumtaz yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, berdasar pengalaman lepas semua pihak saling membantu untuk menyelamatkan dan membantu mangsa banjir di lokasi yang terjejas.
Menurutnya juga, penduduk yang tingal di kawasan rendah supaya berhati-hati dan mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.
“Sebarang dokumen berharga hendaklah disimpan di tempat yang selamat sebelum berpindah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/12/2022




















