
DOHA, Qatar: Lionel Messi berikrar akan meneruskan karier bola sepaknya dengan Argentina selepas membantu mengalahkan Perancis untuk merangkul Piala Dunia FIFA 2022, malam tadi.
“Saya mahu terus menyertai beberapa lagi perlawanan dan turun padang sebagai juara dunia,” kata Messi, 35, kepada televisyen Argentina berikutan kemenangan penentuan penalti epik negara ke atas Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Doha.
Namun, Messi mengakui kariernya hampir tamat selepas kapten Argentina itu gagal membantu pasukannya menjulang trofi juara Piala Dunia 2014 apabila kalah 1-0 kepada Jerman dalam perlawanan final, biarpun memenangi anugerah peribadi, Bola Emas – pemain terbaik 2014, lapor AFP.
Bagaimanapun dalam final Piala Dunia 2022 ini, penyerang Paris Saint-Germain itu padu menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir yang menakjub dan mendebarkan – yang berakhir 3-3 selepas 120 minit berlangsung, sebelum pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu menjaringkan sepakan penalti dalam penentuan sepakan yang dimenangi Argentina 4-2.

“Sudah tentu saya ingin menamatkan karier saya dengan (kemenangan menjuarai Piala Dunia 2022) ini, saya tak boleh meminta lebih daripada ini,” ujar Messi.
“Karier saya hampir tamat kerana ini adalah tahun-tahun terakhir saya,” ulasnya mengenai begitu banyak kekecewaan dialaminya sebelum ini di pentas terbesar dalam bola sepak itu, termasuk tewas di final Piala Dunia 2014 kepada Jerman di Brazil.
Namun, Messi sentiasa berazam dan sentiasa merasakan masa untuk dirinya muncul juara Piala Dunia bersama Argentina akan tiba.
“Sungguh gila ia akhirnya menjadi kenyataan, dan ia menakjubkan. Sangat mengagumkan ia boleh berakhir dengan cara ini.

“Saya pernah berkata sebelum ini bahawa Tuhan akan memberikan saya (merangkul Piala Dunia) ini dan saya tidak tahu mengapa tetapi saya merasakan ia akan menjadi realiti pada kali ini,” kongsi Messi lagi.
Mengalihkan perhatiannya kepada perlawanan di Piala Dunia 2022 itu sendiri, Messi berkata ia adalah sukar untuk dijelaskan selepas Argentina melepaskan kelebihan dua gol pada lewat permainan buat kali kedua, berikutan kemenangan suku akhir ke atas Belanda seminggu sebelumnya.
Argentina mendahului 2-0 pada separuh masa dan mendahului 3-2 pada masa tambahan tetapi hatrik ‘magis’ Kylian Mbappe, dengan dua gol lewat dalam masa biasa dan satu lagi dalam tempoh tambahan, menyematkan Argentina, dan membawa kedua-dua pasukan ke kancah penalti yang sangat mendebarkan.

“Ia adalah perlawanan yang sangat pelik, sama seperti perlawanan lain menentang Belanda, dan kemudian apabila kami mendahului dalam masa tambahan, ia berlaku lagi,” kata Messi.
Kemenangan Argentina ke atas Perancis tersebut menyaksikan pasukan itu merekodkan gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas merealisasikannya pada edisi 1978 dan 1986.
Meraikan kemenangan Argentina, Messi memeluk keluarga dan rakan sepasukannya selepas perlawanan berakhir manakala jurulatih Lionel Scaloni, pemain sayap Angel Di Maria, yang menjaringkan gol kedua Argentina, dan penjaga gol Emiliano Martinez tidak dapat menahan air mata mereka selepas wisel penamat.

Momen kejayaan yang amat manis dan penuh bermakna apabila pada kali ini Messi dipilih memenangi Bola Emas, anugerah pemain terbaik Piala Dunia 2022 selepas membantu Argentina muncul juara dengan menewaskan Perancis pada aksi final.
Kemenangan Argentina itu turut menyaksikan Messi muncul pemain pertama merangkul dua kali anugerah berkenaan, selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014.
Messi yang telah bermain 172 kali untuk Argentina, menjaringkan 98 gol sejak membuat penampilan sulung pada 2005, merupakan pemain bola sepak terkaya di dunia dengan aset kekayaan terkumpul mencecah AS$620 juta (RM2.74 bilion).
Namun apa yang paling penting dan menjadi sejarah adalah Messi kini telah menyamai jumlah gol Piala Dunia bintang legenda global dan Argentina, Diego Maradona sebanyak 8 gol. – HARAKAHDAILY 19/12/2022




















