
MARAN: Kerajaan Negeri Pahang masih mengamalkan sentimen politik apabila bertindak membatalkan tempahan dewan bagi majlis khatan dan tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia.
Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang menarik balik kelulusan menggunakan Dewan Jubli Perak dan Dewan Arena Chenor, di sini.
”Saya dimaklumkan kedua-dua dewan tersebut sebelum ini telah diluluskan oleh Majlis Daerah Maran, namun telah dibatalkan atas arahan langsung daripada kerajaan negeri.
“Apa yang sangat dikesalkan tempahan pada 18 Disember ini di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Maran itu merupakan majlis berkhatan secara percuma anjuran Ahli Parlimen Maran kepada rakyat di sini,” ujarnya.
Menurut Ustaz Ramli, adalah tidak munasabah setelah tempahan diluluskan kemudian dibatalkan dengan memberi alasan kononnya dewan sedang dibaik pulih.
“Sikap yang ditunjukkan ini, sangat jelas bertentangan dengan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Baginda pada Istiadat dan Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar baru-baru ini menitahkan supaya kerajaan negeri bersikap amanah dan mengenepikan sentimen politik dalam pentadbiran.
“Minggu lalu telah kita dengar berita tempahan Dewan Tun Temerloh oleh pihak Ahli Parlimen Temerloh juga telah dibatalkan melalui arahan lisan kerajaan negeri, budaya politik apa yang cuba diamalkan Kerajaan BN-PH di Pahang ini?” soalnya.
Sementara itu pula, tempahan oleh Pemuda PAS Cawangan Chenor Bandar di Dewan Arena Chenor pada tarikh yang sama, untuk program tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia turut dibatalkan.
“Segala persiapan untuk kedua-dua majlis tersebut, termasuk iklannya telah dibuat oleh pihak penganjur,” jelasnya lagi.
Kedua-dua program tersebut terpaksa ditukar ke lokasi lain, iaitu di pekarangan kediaman Ahli Parlimen Maran yang bakal berlangsung seperti tarikh ditetapkan. – HARAKAHDAILY 17/12/2022




















